KUALA LUMPUR: “Kami nak pemimpin, bukan nak memimpin. Tengah mencari dan menilai.”
Itu jawapan balas pelakon berkaliber, Bront Palarae kepada seorang pengguna Twitter apabila dia dilihat semakin aktif dalam bersuara berhubung politik dan parti pemimpin tempatan.
Tambah Bront atau nama sebenar, Nasrul Suhaimin Saifuddin, 42, keadaan rakyat adalah perkara mustahak.
“Hal masyarakat bukan mainan. Jangan dimain-mainkan. Jangan rugikan parti sokongan anda dengan tindakan sebegini. Ramai yang baca ini,” ciapnya.
Malah pemenang Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Terbaik Dari Langit di Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2015 itu, turut dikecam kerana lantang berbicara daripada melakukan sesuatu.
Dalam masa sama, pelakon filem One Two Jaga itu berharap agar para penyokong tidak menjadi tanggungan terhadap parti.
“Anda sayangkan parti, silakan. Jadilah penyokong atau jentera yang berkualiti, bukan jadi liabiliti pada parti. Nak barang laku, tak boleh ajak prospek gaduh. Pilihanraya dah tak lama lagi ini,” katanya.
Melihat keluhan rakyat yang semakin tawar hati dengan parti pemimpin, Bront berkata, parti memainkan peranan penting dalam pemilihan calon akan datang.
“Jangan dibebankan rakyat memilih parti. Rakyat harus pilih calon yang kini sedang memberi perkhidmatan terbaik di kawasan mereka. Partilah yang bertanggungjawab mengenalpasti calon yang tepat di setiap kawasan, untuk mendapat tempat di Parlimen. Semoga berjaya buat semua parti,” ujarnya.