ALOR SETAR: Jumlah suntikan vaksin harian mencatat angka tertinggi dengan melebihi 434,000 dos di seluruh negara, semalam.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, suntikan harian itu dijangka terus bertambah susulan pertambahan jumlah vaksin yang diterima dalam tempoh terdekat.
Sebagai contoh katanya, kerajaan pada masa ini mendapat pengesahan daripada Pharmaniaga mengenai komitmen mereka menyelesaikan penghantaran sepenuhnya kesemua 12 juta dos Sinovac sebelum hujung bulan ini.
“Selain itu, kita turut menerima sumbangan satu juta dos pfizer dari Amerika Syarikat, satu juta dos AstraZeneca dari Jepun dan 500,000 Sinovac dari China.
“Itu menjadikan jumlah vaksin yang akan diterima pada bulan ini berjumlah kira-kira 16 juta dos. Dengan itu kita boleh meningkatkan agihan dengan tumpuan tentu sekali diberikan kepada negeri dengan kes tinggi seperti di Lembah Klang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Sultan Abdul Halim di sini hari ini.
Kadar pemberian vaksin harian di negara ini pertama kali melepasi jumlah 400,000 dos sehari pada Isnin lalu dengan 421,479 dos sebelum meningkat kepada 424,541 dos kelmarin.
Sementara itu katanya, terdapat perbincangan dalam kalangan pihak berkaitan hari ini untuk memastikan jumlah suntikan harian di Selangor dapat mencecah hingga 400,000 sehari berikutan keadaan semasa di negeri itu.
“Kita semua sedia maklum akan keadaannya di Selangor dan untuk itu, kita perlu ‘selesaikan’ di sana secepat mungkin supaya tidak berjangkit ke tempat-tempat lain.
“Buat masa sekarang kadar suntikan harian di Selangor sudah mencecah lebih 114,000 dos semalam dan usaha akan dijalankan bagi meningkatkan jumlah tersebut,” katanya.