PETALING JAYA: Pusat Akuatik Tokyo menjadi saksi terhadap kejayaan perenang negara, Phee Jinq En apabila memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 100 meter (m) kuak dada wanita di Sukan Olimpik 2020 Tokyo, hari ini.
Perenang berusia 23 tahun itu melakar rekod tersebut pada aksi saringan kedua pusingan kelayakan di temasya tersebut menerusi catatan masa 1 minit 08.40 saat (s).
Catatan itu sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan terdahulu yang dipahat dalam Sukan SEA 2019 Manila menerusi 1:08.50s.
Tempat pertama saringan dua itu dimenangi Andrea Podmanikova dari Slovakia apabila mencatat masa 1:08.36s.
Jinq En, yang berpangkalan di Amerika Syarikat sejak lima tahun lalu bagaimanapun terpaksa akur apabila catatan masa itu gagal menempatkan diri ke peringkat separuh akhir.
Sementara itu, perenang lelaki negara, Welson Sim turut mengalami nasib sama selepas berada di kedudukan ke-36 daripada 39 peserta untuk acara 200m gaya bebas.
Ia selepas Welson sekadar mencatat masa 1:49.24s bagi menempatkan diri di tempat ketujuh daripada lapan pencabar dalam saringan dua sebentar tadi.