Liga Juara-juara Asia (ACL): JDT tetap akan beri saingan sengit - Mora

JDT tetap akan beri saingan sengit – Mora

PEMAIN JDT giat menjalani latihan untuk memberikan saingan sengit kepada Nagoya Grampus walaupun sudah tersingkir dalam saingan Liga Juara-juara Asia (ACL). - FACEBOOK JDT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Biarpun peluang sudah tertutup buat Johor Darul Ta’zim (JDT) melangkah ke pusingan seterusnya dalam kempen Liga Juara-juara Asia (ACL), skuad Harimau Selatan itu tetap mahu memberikan saingan sengit kepada Nagoya Grampus dalam aksi Kumpulan G di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, malam esok.

Pengendali JDT, Benjamin Mora berkata, perjuangan seharusnya diteruskan walaupun keputusan perlawanan yang diperoleh dalam perlawanan terdahulu tidak berpihak kepada mereka malah ia sedikit pun tidak melunturkan semangat juang pemain.

Mora akui anak buahnya kepenatan ekoran jadual perlawanan yang padat namun itu tidak seharusnya menjadi alasan dan mereka perlu menyesuaikan diri terhadap situasi ini untuk bersaing di tahap tinggi di kejohanan berprestij seperti itu.

“Kami merasa amat bertuah kerana berpeluang beraksi di kejohanan ini bahkan berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan pemain setakat ini. Biarpun keputusan perlawanan tidaklah sebegitu bagus, tetapi kami akan teruskan perjuangan ke keringat terakhir.

“Pastinya, perlawanan menentang Nagoya akan menjadi pertemuan yang sukar, kami tahu kemampuan mereka yang dibarisi ramai pemain handal dan berpengalaman. Kami akan memberi tentangan sengit dan berharap mampu meraih keputusan positif.

“Selain itu, Nagoya juga amat perlukan kemenangan pada perlawanan esok (malam ini) untuk memaku posisi sebagai pendahulu bagi Kumpulan G. Pastinya, kami berdepan dengan tugas yang berat pada perlawanan ini,” katanya pada sidang akhbar pra perlawanan menentang Nagoya Grampus hari ini.

Mengulas lanjut tentang persembahan JDT di pentas ACL, Mora akui, dia meletakkan penanda aras yang tinggi buat pasukan apabila menjangkakan untuk memenangi setiap perlawanan menentang kelab gergasi Jepun dan Korea Selatan, Pohang Steelers sebelum ini.

Katanya, dia perlu menerapkan ‘mentaliti juara’ buat anak buahnya bagi menaikkan semangat ketika berdepan dengan kelab yang jauh lagi berpengalaman daripada mereka dan berada di tahap yang berbeza.

“Sebagai kelab kerdil dari Malaysia, kami akan cuba untuk berkembang secepat mungkin. Namun tahap kami berada sekarang cukup sukar berdepan kelab ternama dari Jepun dan Korea Selatan.

“Jadi, apa yang kami mampu lakukan adalah untuk kekal positif dan memberikan yang terbaik mengikut apa yang direncana dan berharap kepada tuah berpihak pada kami,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya