PUTRAJAYA: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menetapkan majlis akad nikah di Wilayah Persekutuan diperluaskan ke masjid-masjid kariah terpilih bermula 1 Ogos ini.
Berbanding sebelum ini, majlis akad nikah hanya dibenarkan di Jawi Cawangan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Pengarah Jawi, Datuk Mohd. Ajib Ismail berkata, sebanyak 12 masjid terpilih dibenarkan bagi majlis akad nikah itu masing-masing lapan di Kuala Lumpur, Putrajaya (tiga) dan Labuan (sebuah).
Beliau berkata, masjid yang dibenarkan di Kuala Lumpur adalah Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Imam Al-Ghazali, Masjid Salahuddin Al-Ayubbi dan Masjid As-Shafie, Masjid Usamah bin Zaid, Masjid Al-Muqarabbin dan Masjid Al-Rahman.
“Di Putrajaya pula adalah Masjid Tuanku Zainal Abidin, Masjid Putra dan Masjid Mahmoodiah serta Masjid An-Nur di Labuan,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Mohd. Ajib berkata, perluasan lokasi majlis akad nikah itu dibuat demi maslahah umat Islam di Wilayah Persekutuan dalam tempoh Fasa 1, Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Beliau berkata, pihaknya turut menetapkan majlis akad nikah dibenarkan kepada pasangan yang telah mendapat kebenaran berkahwin daripada Jawi.
Menurutnya, pihak yang terlibat hendaklah membuat janji temu dengan Jawi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan serta masjid-masjid terpilih terlebih dahulu bagi mendapatkan tarikh dan waktu akad nikah.
“Kehadiran ke majlis akad nikah pula terhad kepada tiga orang iaitu pengantin lelaki, pengantin perempuan dan wali manakala jurunikah dan dua orang saksi adalah dari pihak Jawi dan masjid yang berkenaan,” katanya.
Katanya, adalah menjadi tanggungjawab kepada pendaftar atau penolong pendaftar di Wilayah Persekutuan untuk memastikan pasangan dan wali menjalani ujian calitan Covid-19 terlebih dahulu.
Beliau berharap semua pihak dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pengurusan tertinggi Jawi dari semasa ke semasa.