PUTRAJAYA: “Saya rayu kepada anak Klate (Kelantan) di perantauan agar tidak rentas sempadan ‘balek Klate’,” kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.
Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, kepulangan anak perantauan ke Kelantan boleh membantutkan pemulihan jangkitan Covid-19 di negeri itu dan mungkin boleh mewujudkan kluster baharu.
“Saya merayu kepada anak Kelantan di perantauan (Lembah Klang) agar seberapa boleh tidak rentas sempadan untuk pulang ke Kelantan.
“Ini memandangkan Lembah Klang masih merekodkan kes sporadik yang tinggi,” katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini.
Semalam, media melaporkan seorang lelaki yang pulang ke Kelantan pada 2 Julai lalu untuk menziarahi keluarganya mencetuskan satu kluster komuniti iaitu Kluster Kampung Bujuk dengan 14 kes dikesan positif dikesan setakat ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah melaporkan, kluster itu dikesan di Pasir Mas, Kelantan dan Petaling, Selangor membabitkan kawasan perumahan di Kampung Bujuk Tok Uban, Pasir Mas.
Sementara itu, Annuar dalam kenyataan akhbar berkata, daripada 1,781 kes positif Covid-19 yang dilaporkan semalam, 25 peratus atau 445 kes adalah kes sporadik.
Selain itu katanya, 98 peratus daripada 1,781 kes di Kuala Lumpur dan Putrajaya pula adalah kes kategori 1 dan 2.
“Baki dua peratus lagi adalah kes di bawah kategori 3 iaitu 23 kes dan kategori 4 (14 kes) dan kategori 5 (1 kes),” katanya.
Katanya, warga Wilayah Persekutuan terutama warga emas dan golongan berisiko yang belum divaksin boleh ‘walk-in’ di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) di Wilayah Persekutuan untuk menerima vaksin.
Selain itu, bagi warga Wilayah Persekutuan yang masih belum mempunyai janji temu, mereka juga boleh mendapatkannya melalui Khidmat Vaksinasi Prihatin di Rumah Prihatin @ Grand Seasons dengan menghubungi talian 011-70742318.