KUALA LUMPUR: Pelakon, Syafie Naswip, 29, mendedahkan wujud pihak tidak bertanggungjawab cuba menipunya dengan menggunakan akaun bank palsu untuk meraih bantuan yang diusahakannya secara berulang kali.
Syafie menerusi satu perkongsian di Instastorynya memberitahu, pihaknya telah mengenal pasti individu terbabit yang dikesan menggunakan akaun bank yang sama untuk tujuan berkenaan.
“Nasihat saya, sila jujur kerana perkara ini bukan main-main. Jangan sangka kami tidak kenal akaun (bank) anda.
“Kami ingin sama-sama membantu dan wang ini bukan dari saya seorang tetapi juga dari orang lain. Jadi, jangan jadi penipu. Kami boleh kesan,” katanya.
Dalam perkongsian sama, Syafie turut memohon maaf atas kelewatannya membalas setiap mesej yang dihantar oleh mereka yang memerlukan bantuan berkenaan.
Jelasnya, kelewatan itu adalah disebabkan proses tapisan yang dilaksanakan untuk menyekat sebarang cubaan menipu daripada individu tidak bertanggungjawab.
“Saya harap anda dapat bersabar. Kami sedang tapis kerana terlalu banyak penipuan dan kami tidak mahu sumbangan ini masuk ke dalam akaun yang salah.
“Biarlah sumbangan ini disalurkan dengan cara yang betul,” ujarnya.
Dalam pada itu, menerusi perkongsian di instastory berlainan, Syafie meluahkan rasa syukur apabila sumbangan yang digerakkan pihaknya itu telah memberi manfaat kepada 109 buah keluarga.
“Alhamdulillah setakat 7 malam tadi (6 Julai 2021), kita telah bantu seramai 109 buah keluarga.
“Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah ya Allah. Terima kasih semua yang memberi sumbangan dan yang membeli preloved dengan kami,” luahnya gembira.