KUALA LUMPUR: Suami pelakon dan pengacara ternama Neelofa, Muhammad Haris Mohd. Ismail menitipkan nasihat buat masyarakat agar berhati-hati ketika memuat naik kandungan di media sosial berkaitan orang lain di media sosial.
Haris atau lebih dikenali sebagai PU Riz berkata, hal itu kerana ada perkara yang diperkatakan yang akan menyebabkan kebinasaan kepada diri mereka sendiri.
“Sejak dua menjak ini menjadi satu kebiasaan bila kita scroll Instagram dan dimana sahaja platform media sosial kita akan jumpa orang bercakap isu orang lain. Dia akan bagi pandangan dan sepatah dua kata yang kadang betul, kadang tak betul.
“Cuma satu perkara saya nak ingatkan, buat diri saya yang hina ini. Kepada mereka yang selalu contentnya berkait dengan orang lain, hati-hati.
“Kerana, pertama sekali ada perkara yang kita perkatakan menyebabkan kebinasaan kepada diri kita sendiri. Nabi SAW bersabda seorang hamba apabila dia bercakap tentang satu kalimah tanpa menyedari bahawa kalimah itu tidak baik, disebabkan itu dia dicampak ke dalam api neraka.
“Yang kedua, dengan satu kalimah yang baik yang tidak diketahui kesannya apabila diucapkan maka si pelaku itu diangkat darjatnya disisi Allah SWT,” katanya dalam satu video di Instagram.
Dalam pada itu, PU Riz turut mengingatkan kepada semua agar tidak mudah memberi komen tentang orang lain.
“Kita tidak sedar hari ini kita banyak bercakap pasal orang, walaupun perkara yang diperkatakan itu betul, itu sudah jadi mengumpat. Jangan kita terlalu mudah bercakap tentang orang, membuat spekulasi dan konklusi tentang manusia lain.
“Sesungguhnya Allah SWT membahagi-bahagikan nikmat pada hambanya berbeza-beza. Jadi, jaga diri kita baik-baik. Jangan mudah bercakap pasal orang lain,” katanya lagi.