KUALA LUMPUR: Penyanyi dan penyampai radio, Haiza menyeru orang ramai termasuk rakan artis untuk menjaga penulisan di media sosial supaya tidak mengundang sebarang perkara negatif.
Ketika dihubungi, penyanyi Mantan Isterimu itu menjelaskan, keadaan yang tertekan adakalanya memaksa individu berbuat demikian tanpa berfikir dengan rasional.
“Kadang-kadang ada rasa kecewa dengan penulisan yang menakutkan. Tergamak mereka melabel ikut suka hati.
“Kita faham kalau mereka nak bersuara tapi biarlah berdasarkan fakta. Jangan ikut orang nak menulis, kita pun terikut sama sampai tak tahu hujung pangkal dan sumber dari mana? Pastikan ada rujukan dulu.
“Kalau ada rakan artis yang lantang bersuara di media sosial itu hak mereka. Tapi lebih manis menulis berasas fakta. Saya bercakap ini untuk kebaikan bersama, jangan kecam saya pula,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Haiza atau nama lengkapnya Rohaizah Nordin, 41, berkata, di media sosial ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia.
“Kanak-kanak sekarang pun sudah ada akaun sendiri. Jadi penulisan kita kena tapis dan tulis yang baik-baik sahaja.
“Risau nanti pada fikiran mereka apa yang dibaca (penggunaan bahasa kesat) itu betul dan secara tidak langsung mereka akan ikut, sebab orang dewasa sendiri yang buat begitu.
“Kita ada tanggungjawab dan saya bercakap ini pesan pada diri sendiri serta tidak juga menuding jari kepada siapa pun,” tuturnya.