Jangan harap 'bulan bintang' - Utusan Malaysia

Jangan harap ‘bulan bintang’

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (kanan, berdiri) memberikan kata-kata perangsang serta semangat kepada para penerjun kebangsaan, Nur Dhabitah Sabri, Ng Yan Yee, Pandelela Rinong Pamg, Cheong Jun Hoong dan Leong Mun Yee, yang bakal menggalas misi penting bagi membawa pulang pingat untuk negara dalam Sukan Olimpik 2020 Tokyo.- IHSAN KBS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sasaran muktamad kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik akan diumumkan Isnin depan, namun rakyat negara ini diingatkan agar tidak terlalu mengharapkan ‘bulan dan bintang’.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menegaskan, mengambil kira situasi pandemik Covid-19 dengan banyak kejohanan dibatalkan dan pelbagai kekangan lain, sasaran yang bakal diletakkan amat ‘sederhana’.

Peminat sukan juga katanya perlu realistik hasrat untuk mengulangi pencapaian terbaik memenangi empat pingat perak dan satu gangsa seperti yang dilakukan di Rio 2016 agak sukar.

“Saya kena realistik dan kita kena bersederhana dalam meletakkan sasaran pingat yang hendak dicapai.

“Dalam kekangan atlet-atlet kita mendapatkan latihan dan tidak mampu menyertai banyak kejohanan, ini memberi kesan terhadap tahap kompetitif mereka…memang ada kesan.

“Apa yang kita capai di Rio setakat ini paling bersejarah. Keseluruhannya, kita sudah memenangi 11 pingat (dalam semua Sukan Olimpik). Lapan perak dan tiga gangsa. Daripada 11 pingat, lima dari Rio. Empat perak, satu gangsa, jadi bayangkanlah…

“Dalam saya meletakkan sasaran tapi bukan esok ya…selepas mesyuarat dengan MSN (Majlis Sukan Negara) pada Isnin, kita cuba bersederhana kerana hendak memenuhi harapan rakyat Malaysia,” kata Reezal Merican dalam sidang akhbar di MSN, Bukit Jalil semalam.

Katanya, menetapkan sasaran bukan semudah ABC kerana ia sesuatu yang perlu dipenuhi dan harus diseimbangkan dengan kemampuan serta keadaan semasa.

“Apa yang penting, saya mahu lihat atlet kita memberikan aksi terbaik, menunjukkan semangat juang tinggi hingga kudrat terakhir.

“Memang benar, rakyat mahu melihat pingat tetapi pingat bukan segala-galanya dalam mengukur kejayaan. Bagi sesetengah sukan, memecah rekod kebangsaan, perbaiki ranking dunia atau mara ke final dianggap satu pencapaian,” katanya.

Pada Sukan Olimpik Rio 2016, empat pingat perak negara disumbang menerusi Datuk Lee Chong Wei, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (badminton) dan gandingan penerjun, Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong.

Pingat gangsa pula diraih Azizulhasni Awang dalam acara berbasikal keirin.

Malaysia akan menghantar 30 atlet untuk bertanding dalam 10 acara pada Sukan Olimpik 2020, dan kumpulan terbesar dijangka berlepas Sabtu ini.

Menurut Reezal Merican, setakat ini badminton, berbasikal dan terjun kekal sebagai sandaran utama untuk membawa pulang pingat, namun beliau tetap mengharapkan kejutan berlaku dalam acara lain seperti memanah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya