PETALING JAYA : Ahli-ahli Parlimen tidak boleh dihalang daripada hadir ke Parlimen pada hari Isnin ini dalam melaksanakan tugas masing-masing kepada rakyat dan negara serta melaksanakan sumpah iaitu untuk memelihara, melindungi serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menegaskan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin wajib mendengar suara rakyat yang mahu titah Yang di-Pertuan Agung dijunjung agar Ordinan-Ordinan Darurat dibahas dan diputuskan di Parlimen.
“Kami juga memberi amaran keras kepada Tan Sri Muhyiddin agar tidak memperalat agensi dan Kementerian-Kementerian, termasuk Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah untuk menutup Parlimen.
“Ketua Pengarah Kesihatan juga diingatkan agar tidak membenarkan diri beliau diperalat demi menutup Parlimen dan menghalang sidang khas seperti yang dititah Yang di-Pertuan Agong,” kata kenyataan itu yang dikeluarkan sebelum pengumuman rasmi penangguhan Parlimen pada Isnin ini.
Majlis Presiden PH kemudian menggesa semua pihak termasuk pegawai-pegawai Kementerian Kesihatan untuk tidak bersekongkol dengan kerajaan Perikatan Nasional untuk melakukan helah untuk sengaja menutup sidang Parlimen pada Isnin ini.
Kata kenyataan itu, jika Parlimen ditutup dengan hanya dengan kadar kurang daripada satu peratus maka Parlimen berkemungkinan besar tidak akan bersidang lagi kerana hakikatnya Covid-19 akan terus berada di dalam masyarakat (endemic) bukan hanya di Malaysia, malah di seluruh dunia.
“Pada Khamis lalu, sidang telah ditempohkan empat kali. Salah satu alasan yang diguna ialah terdapat sejumlah kes positif di Parlimen yang menyaksikan semua berada di Parlimen dihalang dari keluar dan diarah melakukan ujian saringan.
“Ketua Pengarah Kesihatan memaklumkan bahawa 1,183 orang telah disaring di mana 11 didapati positif. Dari 11 ini, satu membuat saringan RT-PCR manakala 10 yang lain membuat saringan RTK.
“Berdasarkan laporan Ketua Pengarah Kesihatan, kadar positif di Parlimen adalah 0.9 peratus manakala nilai ambang (threshold) yang disaran WHO bagi menentukan jumlah ujiansaringan yang mencukupi ialah lima peratus.
“Ini bermaksud tidak ada jumlah kes positif Covid-19 yang signifikan di Parlimen sepanjang minggu lalu. Oleh itu, isu jangkitan Covid-19 tidak boleh dan tidak patut dijadikan alasan untuk menutup atau menangguh sidang Parlimen yang perlu diteruskan pada Isnin depan,” katanya. – UTUSAN ONLINE