Jabatan Hutan musnah 1,000 pokok sawit haram seluas 11 hektar

Jabatan Hutan musnah 1,000 pokok sawit haram

NORDDIN Noor menunjukkan lokasi pencerobohan tanaman kelapa sawit di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan yang akan dimusnahkan pihaknya selepas 11 hektar kawasan itu didakwa diceroboh bagi tujuan pertanian secara tidak sah. - FOTO/MOHD. YUNUS YAKKUB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Kira-kira 1,000 pokok kelapa sawit di sini akan ditebang akibat penanamannya dibuat secara haram di atas tanah kawasan Hutan Simpan Kuala Langat seluas 11 hektar.

Kawasan hutan simpan itu didakwa sudah pun diceroboh sejak berpuluh tahun lalu dan arahan hadir ke pejabat Jabatan Hutan berhampiran sudah diberikan bagi memberikan maklumat kepada pengusaha supaya menghentikan penanaman sawit.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pengarah (Operasi Hutan), Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Norddin Noor yang mengadakan operasi secara besar-besaran mulai hari ini bagi membersihkan semula kawasan pencerobohan itu.

“Sebenarnya kalau ikut kita punya semakan, kawasan ini sudah diceroboh berpuluh tahun, tetapi sebelum ini jabatan pernah mengeluarkan notis supaya mereka yang ceroboh datang ke jabatan untuk membuat permohonan dan kita akan maklum apa yang boleh dan tidak,” katanya.

Beliau menambah, susulan notis berkenaan tidak diendahkan, beliau kemudian bertindak mengambil tindakan tegas dengan mengadakan operasi berskala besar melibatkan pelbagai agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) melibatkan 50 pegawai dan anggota keseluruhan.

Dalam pada itu, Norddin memaklumkan pemulihan semula kawasan itu akan diadakan Bahagian Perlindungan Hutan bagi memulihara ekosistem di sana termasuklah memastikan sumber simpanan air dapat dipelihara.

“Seperti mana yang dilihat sekarang, hutan tanah gambut adalah sebagai sumber simpanan air dan di sini berlaku aktiviti penanaman pokok kelapa sawit. Jadi apa yang kita tahu, bila ada penanaman sawit, secara tidak langsung akan mengurangkan kandungan air dalam tanah.

“Pada perancangan kita, setelah pokok sawit ini dimusnahkan, kita akan terus adakah projek penanaman semula pokok hutan yang akan dilaksanakan oleh Bahagian Perlindungan Hutan,” ujarnya.

Untuk makluman, kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Selatan adalah seluas 6,400 hektar yang menjadi sumber simpanan air bagi kawasan berkenaan.

Oleh demikian, sebarang aktiviti pencerobohan termasuk berkaitan pertanian adalah bertentangan dengan Akta Perhutanan Negara 1984 dan di bawah Seksyen 1 (1)(e) penceroboh boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM50,000, penjara tujuh tahun atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN