KUALA LUMPUR: Pelakon hebat, Nabila Huda meluahkan keinginan untuk menimang cahaya mata lagi namun masih belum mempunyai rezeki.
Katanya, walaupun dia reda dengan ketentuan takdir Tuhan tapi terbit satu rasa penyesalan dalam dirinya kerana sebelum ini pernah mengalami keguguran namun tidak melalui proses berpantang dengan betul.
“Cuma saya tidaklah berasa sedih sangat malah reda sebab yang memberi rezeki kepada kita itu Dia (Tuhan). Kalau belum ada, mesti bersebab atau belum waktunya. Rasanya salah saya juga sebab masa kandungan keguguran dua kali sebelum ini tidak berpantang dengan betul.
“Tapi memang saya tidak tahu dan menyesal sangat. Mungkin itulah punca kenapa saya tidak boleh hamil? Benci bila sudah mula berfikiran negatif. Okay saya kena positif. Sekarang saya rasa kena pulihkan apa yang patut.
“Walaupun sudah lama keguguran tetapi nak ganti semula pantang itu? Masih belum terlambat bukan? Mungkin itu dapat membantu saya untuk hamil lagi. Saya nak sangat untuk ada zuriat lagi,” coretnya di Instagram Story hari ini.
Dalam luahan sama, pelakon Teduhan Kasih itu berkongsi, dia akan mencari ikhtiar menerusi rawatan tradisional terlebih dahulu, tapi untuk proses In vitro fertilization (IVF) tiada dalam senarai solusinya.
“Selagi belum mula bekerja ini, ada banyak masa lapang baik saya ambil pakej pantang. Saya memang kena berusaha walau apa pun caranya, lagi tiga tahun nak masuk 40 tahun. Saya mahukan anak ramai lagi.
“Boleh tidak siapa-siapa cadangkan dengan siapa saya boleh berhubung untuk pantang? Kalau anda ada idea lain tolong kongsi sama juga ya. Untuk makluman kaedah IVF tiada dalam senarai sebab saya sudah pernah melahirkan secara normal sebelum ini. Jadi sekarang sedang usaha dengan cara tradisional dulu,” katanya.
Sebagai informasi, pelakon itu berkahwin dengan Izwan pada 25 Disember 2015 dan mempunyai seorang anak perempuan, Keisha Laila menerusi perkahwinan pertama.