Isu kematian pelajar: UiTM prihatin, saran bincang dengan pensyarah - Utusan Malaysia

Isu kematian pelajar: UiTM prihatin, saran bincang dengan pensyarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) sentiasa prihatin bagi memastikan kebajikan dan kemudahan pelajarnya dalam menjalani sesi pembelajaran secara Open Distance Learning (ODL).

Dalam kenyataan akhbar melalui Jabatan Komunikasi Korporatnya, UiTM turut menyediakan kemudahan internet dan peranti serta mengalu-alukan pelajarnya untuk menginap di kolej atau rumah sewa berhampiran kampus.

Katanya, bagi aspek pentaksiran dan penilaian pula, UiTM melalui Bahagian Hal Ehwal Akademik serta para pensyarah terlibat telah membuat pemakluman awal berkaitan tarikh-tarikh penting tugasan kepada para pelajar pada awal semester melalui pelan pengajian setiap kursus.

“UiTM sangat prihatin terhadap isu kematian pelajar di Cawangan Kedah dan Pahang baru-baru ini. 

“Pihak pengurusan UiTM amat berdukacita dan mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga kepada kedua-dua pelajar berkenaan. Semoga keluarga Allahyarhamah dan Allahyarham diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menempuh ujian ini,” katanya.

Pelajar berkenaan, Nurul Natasya Ezreen Azemi, 22, adalah pelajar Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Cawangan Kedah manakala Muhammad Adham Hazim Mohd. Rizaini, 21, pula merupakan pelajar Diploma Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Awam, Cawangan Pahang.

Mengulas lanjut, UiTM memberitahu, bahagian hal ehwal akademiknya melalui inisiatif prihatin telah pun melanjutkan aktiviti pentaksiran dan penilaian berterusan sepanjang minggu penilaian akhir sehingga Ogos hadapan.

Ujarnya, ia dilaksanakan melalui Pekeliling Akademik bil 11/2021 yang dikeluarkan dan telah dimaklumkan kepada semua pelajar dan pensyarah pada 18 Jun lalu.

“Pada waktu yang sama, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Unit Kaunseling, UiTM juga sentiasa peka dan bersiap siaga bagi membantu pelajar dalam memberi khidmat nasihat dan apa jua bantuan yang diperlukan oleh mereka dalam menghadapi proses pengajaran dan pembelajaran secara ODL dalam situasi pandemik Covid-19 ini. 

“Para pelajar adalah disarankan agar sentiasa berbincang dengan para pensyarah, penasihat akademik atau Ketua Program masing-masing bagi menyelesaikan apa jua isu berkaitan pentaksiran dan penjadualan penilaian,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya