PETALING JAYA: Seorang aktivis Israel, Emily Schrader melalui penulisannya di The Jerusalem Post baru-baru ini menyentuh mengenai Malaysia, khususnya tentera bawang atau bawang rangers, dalam konflik Israel-Palestin.
Dalam videonya di Twitter juga, Schrader menyebut beberapa laman facebook termasuk Tentera Troll Kebangsaan Malaysia (TTKM) dan Cinta Gaza Malaysia kelolaan Nadir Al-Nuri ‘mengetuai’ serangan siber terhadap rejim Zionis.
TTKM yang memiliki jutaan pengikut dakwanya, telah mengajak ahli kumpulannya untuk mencabuli, godam dan ‘membunuh’ suara digital pro-Israel.
“Dalam kes saya, saya menerima lebih daripada 100,000 sebutan di Twitter dari Malaysia. Kumpulan lain yang bekerjasama dengan TTKM adalah Cinta Syria Malaysia (CSM), dengan 300,000 pengikut, dan organisasi saudaranya, Cinta Gaza Malaysia, yang dikendalikan oleh seorang rakyat Malaysia di Gaza, Nadir al-Nuri.
“Nadir sendiri memiliki jaringan Telegram yang mempunyai lebih 256,000 pengikut, yang diaktifkannya selama operasi untuk melakukan buli siber, memberikan senarai akaun pro-Israel untuk digodam dan ditutup,” dakwanya dalam tulisan tersebut.
Tulisan beliau bertajuk The cyber threat the Hamas-Malaysia front poses to Israel – opinion itu turut mempersoalkan sama wujud ‘barisan hadapan digital’ antara pergerakan Hamas dan Malaysia.
Dakwanya, bukti menunjukkan ada kemungkinan.
“Semasa operasi pada Mei lalu, IDF (Israel Defense Force) mengumumkan sasaran mereka terhadap aktivis Hamas di mana sahaja, termasuk, khususnya, Malaysia. Kita tahu Malaysia telah terbukti menjadi ‘kawan baik’ kepada Hamas,” dakwanya.
Dalam penulisan itu, Schrader menyebut Hamas sebagai ‘Hamas terrorists’ (pengganas Hamas).
“Sejak 10 Mei lalu, ‘troll’ anti-Israel dari Malaysia melancarkan serangan buli siber yang teratur dan terkoordinasi untuk mengancam, menutup suara dan mengganggu kehidupan harian penduduk Israel.
“Dengan menggunakan tanda pagar #IsraelKoyak, aktivis ini bertindak menyebarkan akaun peribadi dan awam Israel secara besar-besaran untuk menutup suara-suara pro-Israel.
“Lebih membimbangkan, aktivis ini juga mengadakan kempen yang diselaraskan untuk menggodam akaun media sosial dengan suara pro-Israel (termasuk saya) dan mengunci akaun mereka. Ini bukan hanya ‘hacktivisme’ atau buli siber, ini perang – dan mempunyai akibat yang mendalam,” katanya.
Sebagai contoh dakwanya, ‘troll’ dari Malaysia memperoleh nombor telefon peribadi Jurucakap Arab IDF, Avichay Adraee, dan ‘mengundi’ akaun WhatsAppnya semasa operasi ketenteraan berkenaan.
Selain itu tulisnya, mereka memperoleh nombor telefon seorang pegawia kanan kerajaan dari Kementerian Hal Ehwal Strategik, memaksanya menukar nombor telefon.
“Dari segi mengganggu tokoh awam, rakyat Malaysia meninggalkan ribuan komen kebencian pada kenyataan Gal Gadot (bintang Hollywood warga ISarel) di media sosial, yang akhirnya mendorongnya menutup semua komen,” katanya.
Gadot menerusi satu hantaran di media sosial berkata, dia kecewa kerana ‘negaranya’ kini di dalam peperangan.
Gadot dikatakan pernah berkhidmat sebagai anggota tentera IDF selama dua tahun.
Menurut Schrader, kumpulan-kumpulan yang disebutkan itu menggunakan platform media sosial untuk menyerang pengguna di paltform tersebut ‘secara jahat’.
“Sejauh ini, platform media sosial tidak melakukan apa-apa untuk menutupnya. Bagaimana Facebook boleh membenarkan platform mereka sendiri untuk menampung kumpulan yang terdiri daripada setengah juta orang yang menggunakan kumpulan itu untuk tujuan menyerang kumpulan lain?
“Bagaimana kempen setengah juta tweet yang semuanya digunakan secara eksklusif untuk mengganggu satu kumpulan orang tertentu tidak disedari oleh Twitter? Ia tidak boleh diterima,” katanya.
Katanya, syarikat media sosial mesti mengambil tindakan secara aktif memantau gangguan yang disasarkan daripada saluran-saluran Malaysia dan menutupnya.
“Twitter, Facebook, Telegram dan WhatsApp mesti mengelakkan penyalahgunaan platform mereka dan pengguna lain di dalamnya. Sudah tiba masanya untuk menutup ‘barisan hadapan’ Hamas-Malaysia,” katanya.