Ismail Sabri, Takiyuddin sah jumpa PM - Utusan Malaysia

Ismail Sabri, Takiyuddin sah jumpa PM

MENTERI-MENTERI Kanan meninggalkan kawasan kediaman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yakob sah berada di kediaman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,  di sini sebentar tadi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan juga disahkan bertemu dengan Muhyiddin manakala Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun hadir lebih awal.

Bagaimanapun, semua pemimpin berkenaan sudah meninggalkan kawasan kediaman Ahli Parlimen Pagoh itu pukul 12.50 tengah hari.

Ketika ini, lebih 30 petugas media yang berkumpul hanya dibenarkan berada di luar kawasan kediaman Muhyiddin di Jalan Setiabakti 5 dengan kawalan ketat oleh polis.

Polis turut memberi amaran tanpa prejudis kepada petugas media untuk mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka dan mengamalkan jarak satu meter.

Petugas media akan dikenakan kompaun jika gagal mematuhi SOP sepanjang menjalankan liputan di kawasan tersebut.

Ketika ini, tiada maklumat lanjut berkenaan tujuan pertemuan tersebut namun ia dikaitkan dengan sidang mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO memutuskan untuk menarik balik sokongannya serta-merta terhadap Muhyiddin.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sokongan yang diberikan oleh UMNO sejak bulan Mac tahun lalu itu ditarik balik selepas mendapat undian dua pertiga ahli MT.

Menurutnya, selain kegagalan kerajaan menangani pandemik Covid-19, ekonomi dan bebanan rakyat, UMNO juga tidak boleh berkompromi dengan melihat kerajaan memperkotak-katikkan institusi beraja hingga Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah terpaksa berulang-kali mengeluarkan kenyataan media dan titah mengadap supaya Parlimen dibenarkan bersidang dan membahaskan Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu 2021 dan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Tambahnya, berpandukan tujuh ketetapan MT UMNO semasa menyokong Muhyiddin pada tahun lepas, PN didakwa gagal memenuhi segala garis panduan yang telah dikemukakan MT pada 11 Mac 2020.

UMNO turut menegaskan parti itu juga tidak akan menyokong sebarang usaha mencalonkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya