JOHOR BAHRU: Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad yakin Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh diangkat menjadi Perdana Menteri sementara dan kerajaan tersebut juga dijangka tidak goyang.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru berkata, Ismail Sabri yang baru dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri itu bagaimanapun perlu mendapatkan ‘restu’ daripada parti untuk menjawat jawatan nombor satu negara.
“Tapi kalau Datuk Seri Ismail jadi Perdana Menteri sebetulnya, jangan lupa dapatkanlah sokongan Dewan Rakyat seperti mana Allahyarham Tun Hussein Onn lakukan pada 27 Januari 1976 iaitu 12 hari selepas dilantik Perdana Menteri.
“Seperti juga Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 3 Disember 2003 iaitu tiga hari selepas pelantikannya (sebagai Perdana Menteri). Saya sudah terlajak. Tan Sri Mahaidin (Muhyiddin Yassin) ada kisah ke dia tidak disokong oleh UMNO?
“Tan Sri Mahaidin ada kisah ke sama ada dia ada sokongan dari Dewan Rakyat,” katanya dalam status terbaharu yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi miliknya, hari ini.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, Ismail Sabri dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri berkuat kuasa serta merta selain kekal memegang portfolio sebagai Menteri Pertahanan.
Menurut kenyataan tersebut, pelantikan itu akan membantu Perdana Menteri menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi.
Namun dalam hari sama, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu menarik sokongan terhadap Muhyiddin yang menerajui kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Sementara itu, Shahrir berkata, Ismail Sabri sudah pun dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan jika Muhyiddin berundur, sudah ada Timbalan Perdana Menteri yang boleh mengambil alih jawatan itu.
Sebelum ini katanya, terdapat menteri-menteri kanan bergaduh sesama sendiri kerana tidak tahu siapa yang boleh dipercayai oleh Perdana Menteri untuk membantu dalam pelaksanaan tugasnya.
Menurut beliau, apabila Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menarik balik sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, situasi itu membuatkan beliau teringat peristiwa yang sama selepas Pilihan Raya Umum ke-12.
“Tan Sri Mahaidin telah terus duduk dalam jemaah menteri selepas menyatakan Tun Abdullah sepatutnya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dengan seberapa segera dari tempoh setahun yang dicadangkan.
“Tempoh ini juga diketahui oleh Tan Sri Mahaidin. Pendirian MKT UMNO tidak seharusnya membuat menteri-menteri UMNO (dalam PN ketika ini) merasa serba salah atau malu kepada Tan Sri Mahaidin,” ujarnya.
Hal itu kerana katanya, selepas Muhyiddin bercakap di Singapura supaya Abdullah segera berundur, Ahli Parlimen Pagoh itu terus kekal dalam jemaah menteri pilihan.
“Tiada pun rasa serba salah atau malu. Jadi, menteri-menteri UMNO tidak perlu rasa malu dengan Tan Sri Mahaidin. Rasa malu kepada parti? Itu kena tepuk dada, tanya selera. Kalau dalam dada ada prinsip dan falsafah, seleranya jelas,” katanya. – UTUSAN ONLINE