CYBERJAYA: Institusi pengajian tinggi (IPT) disaran mencari kaedah alternatif bagi menggantikan latihan industri secara konvensional dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali gus membolehkan pelajar mendapat pendedahan sewajarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, dalam keadaan pandemik Covid-19 ini, pihak industri terpaksa menangguh dan menolak permohonan pelajar untuk menjalani latihan industri di syarikat mereka.
Katanya, sekiranya IPT tetap kekal dengan penilaian berdasarkan latihan industri konvensional, dikhuatiri memberi kesan kepada pengajian pelajar yang berkenaan, misalnya tergendala atau tertangguh.
“Advisory Note mengenai Panduan Pengendalian Program Pendidikan Tinggi Semasa Perintah Kawalan Pergerakan telah dikeluarkan MQA pada 8 Februari lalu dan sehingga kini, Advisory Note No. 2/2021 itu masih terpakai untuk dirujuk.
“Advisory Note ini boleh dicapai di laman sesawang www.mqa.gov.my dan Facebook rasmi MQA iaitu OFFICIAL : Agensi Kelayakan Malaysia (MQA),” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu sekumpulan pelajar yang permohonannya ditolak untuk menjalani latihan industri, baru-baru ini.
Mohammad Shatar berkata, kaedah alternatif itu bergantung kepada bidang program dan mesti memenuhi hasil pembelajaran yang telah ditetapkan.
“Kaedah lain yang boleh dipertimbangkan adalah seperti industry-based project, problem-based project, topical study atau research project. Aktiviti simulasi dan amali dalam bentuk virtual, dalam talian mahupun ‘remote’ juga boleh dilaksanakan berdasarkan kesesuaian.
“Kaedah alternatif ini boleh dilaksanakan sebagai penggantian penuh atau sebagai pelengkap kepada latihan industri yang terpaksa dihentikan separuh jalan dan belum memenuhi hasil pembelajaran yang telah ditetapkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE