Inisiatif kurangkan yuran libatkan implikasi kewangan RM185.7 juta - Utusan Malaysia

Inisiatif kurangkan yuran libatkan implikasi kewangan RM185.7 juta

KADAR pengurangan yuran yang dinyatakan adalah munasabah memandangkan 20 universiti awam terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi dengan menggunakan sumber peruntukan dalaman universiti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Inisiatif pengurangan kadar yuran yang diberikan 20 universiti awam (UA) kepada 386,142 pelajar tempatan sepanjang pandemik Covid-19 melibatkan implikasi kewangan yang dianggarkan berjumlah RM185.7 juta.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkata, pengurangan yuran bagi semester kedua sesi akademik 2019/2020 melibatkan peruntukan sebanyak RM75 juta dengan RM20 juta merupakan peruntukan tambahan kerajaan manakala RM55 juta menggunakan sumber dalaman UA.

KPT memaklumkan, bagi semester pertama sesi akademik 2020/2021, pengurangan yuran sebanyak RM70.2 juta diberikan manakala bagi sesi kedua sesi akademik 2020/2021 pula pengurangan sebanyak RM40.5 juta telah disalurkan.

“UA telah melaksanakan beberapa inisiatif antaranya, melalui pengurangan yuran perkhidmatan, yuran asrama, yuran konvokesyen dan yuran aktiviti kolej di antara purata 10 hingga 35 peratus bermula semester kedua sesi akademik 2019/2020 sehingga hari ini.

“Inisiatif ini melibatkan implikasi kewangan yang dianggarkan berjumlah RM185.7 juta untuk manfaat 386,142 orang pelajar bagi ketiga-tiga semester,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, langkah-langkah yang diambil itu memperlihatkan keprihatinan kerajaan dalam menangani bebanan kewangan yang dihadapi oleh pelajar dan ibu bapa.

“Kementerian juga berpandangan kadar pengurangan yuran yang dinyatakan adalah munasabah memandangkan 20 universiti awam itu terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi dengan menggunakan sumber peruntukan dalaman universiti.

“Ia susulan penurunan penjanaan pendapatan menerusi yuran pelajar selain pengurangan peruntukan mengurus oleh kerajaan berikutan pandemik yang dihadapi kini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN