KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Elizabeth Tan menyuarakan kekecewaan dengan situasi terkini jangkitan Covid-19 yang kekal mencatatkan jumlah kes yang tinggi.
Elizabeth menerusi satu entri di akaun Instagramnya mempersoalkan mengapa rekod jangkitan masih tinggi meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilaksanakan.
“Lizzy tak faham, Lizzy tak faham kenapa dengan lockdown ini kes masih tak turun. Ini salah siapa? Salah kerajaan? Salah rakyat? Salah siapa?
“Dan Lizzy marah, selagi lockdown ini tak habis, makin ramai orang terjejas. Jadi macam mana? Ini semua salah siapa?,” katanya.
Sebanyak 6,988 kes baharu dengan 84 kematian direkodkan semalam. Ini menjadikan kes keseluruhan Covid-19 setakat ini meningkat kepada 758,967.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, Selangor masih berada di atas dengan 2,885 kes diikuti Kuala Lumpur, 988 kes dan Negeri Sembilan, 692 kes.