Iklan sebagai premis halal, restoran diambil tindakan tidak punya sijil halal sah - Utusan Malaysia

Iklan sebagai premis halal, restoran diambil tindakan tidak punya sijil halal sah

TANGKAP layar laporan Utusan Online hari ini berkenaan tular sejak dua hari lalu di Facebook mengenai seorang penghantar makanan yang memaklumkan terdapat sebuah restoran di bandar Seremban yang dipercayai dikendalikan individu bukan Islam dengan status halalnya diragui.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebuah premis restoran di bandar ini dikenakan tindakan selepas membuat pengiklanan sebagai premis yang halal meskipun tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal yang sah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, pihaknya telah mengambil perhatian satu aduan yang tular dalam media sosial berkaitan satu premis restoran yang meletakkan status premis sebagai halal di dalam satu aplikasi pesanan makanan meskipun ia dipercayai tidak mempunyai sijil halal yang sah.

Sehubungan itu, jelas beliau, sepasukan pegawai penguat kuasa dari KPDNHEP Negeri Sembilan bersama-sama empat orang pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) telah menjalankan pemeriksaan di premis restoran tersebut yang terletak di bandar ini hari ini.

“Hasil daripada siasatan dan pemeriksaan yang dijalankan oleh pegawai penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan dan pegawai JHEAINS mendapati premis tersebut tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal yang sah daripada Jakim.

SEPASUKAN pegawai penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan melakukan pemeriksaan di sebuah premis restoran di bandar Seremban hari ini yang dipercayai membuat pengiklanan sebagai premis yang halal meskipun tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal yang sah daripada Jakim. -GAMBAR/KPDNHEP NEGERI SEMBILAN

“Perniagaan restoran itu pula dimiliki oleh seorang warganegara tempatan, bukan beragama Islam manakala dua orang pekerja yang bertugas di bahagian penyediaan makanan juga didapati bukan beragama Islam. Premis tersebut didapati membuat pengiklanan di dalam aplikasi pesanan makanan dalam talian dan status premis di dalam iklan tersebut adalah sebagai premis yang halal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, jelas Ain Arjuna, satu tindakan kes telah diambil atas kesalahan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu menggunakan apa-apa petunjuk yang menunjukkan makanan tersebut boleh dimakan oleh orang Islam
merupakan satu kesalahan.

“Hukuman bagi kesalahan ini jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu manakala hukuman bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan ialah denda sehingga RM5 juta,” katanya.

Beliau dalam pada itu mengingatkan para peniaga supaya tidak menggunakan apa-apa petunjuk yang menunjukkan makanan tersebut boleh dimakan oleh orang Islam demi untuk mengelirukan dan menarik perhatian pelanggan terutama melalui pengiklanan di dalam aplikasi pesanan makanan atas talian.

“Penggunaan indikasi halal serta logo halal adalah untuk pemegang sijil halal yang sah sahaja dan tidak boleh sewenang-wenangnya disalahgunakan,” katanya.

Utusan Online hari ini melaporkan tular sejak dua hari lalu di Facebook seorang penghantar makanan memaklumkan terdapat sebuah restoran di bandar ini yang dipercayai dikendalikan individu bukan Islam dengan status halalnya diragui.

Menurut penghantar makanan tersebut, maklumat berkenaan restoran tersebut di sebuah aplikasi pesanan dan penghantaran makanan memaparkan ia merupakan sebuah restoran diiktiraf halal.

Bagaimanapun, hasil pemerhatian keadaan dalam restoran dan penyedia makanan tersebut, restoran berkenaan diragui status halal dan kebersihannya.

Lebih membimbangkan, katanya, antara pelanggan yang sering membeli makanan dari restoran itu merupakan pelanggan berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN