Ibu tahanan penjara terima pampasan hampir RM300,000 - Utusan Malaysia

Ibu tahanan penjara terima pampasan hampir RM300,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penantian lebih lima tahun ibu kepada pekerja kilang, Kamarulnizam Ismail yang meninggal dunia di Penjara Tapah berakhir apabila dia mendapat pampasan bernilai RM250,000 atas kecuaian dan RM40,800 untuk tuntutan tanggungan terhadap saman dikemukakannya sejak 2017.

Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh tiga panel diketuai Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Md. Sam yang bersidang bersama Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Hakim Datuk M. Gunalan dalam prosiding yang berlangsung secara dalam talian Zoom hari ini.

Selain itu, mahkamah juga mengarahkan pihak kerajaan untuk membayar kos guaman bernilai RM5,000 kepada ibu Kamarulnizam.

Ibu Kamarulnizam iaitu Rahaya Salleh, 71, yang diwakili peguam M. Visvanathan sebelum ini memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Ipoh terhadap 12 individu dan kerajaan pada 3 Mac 2017 dan menuntut ganti rugi bagi tuntutan tanggungan, misfeasans atau salah guna kuasa dalam jawatan awam serta ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas.

Mahkamah Tinggi pada Ogos 2019 kemudian memutuskan bahawa defendan bertanggungjawab atas kecuaian dan memberikan ganti rugi sebanyak RM100,000 kepada keluarga Kamarulnizam atas penahanan tidak sah terhadap mangsa serta RM50,000 bagi salah guna kuasa dalam jawatan awam.

Pada 24 Jun lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Rahaya untuk mendapatkan ganti rugi di atas kecuaian dan tuntutan tanggungan, namun membenarkan rayuan kerajaan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan RM100,000 kepada wanita itu sebagai ganti rugi bagi penahanan tidak sah dan RM50,000 bagi salah guna kuasa dalam jawatan awam.

Mahkamah Rayuan turut memberikan ganti rugi khas RM10,000 kepada Rahaya selain menaikkan jumlah kos perundangan bagi prosiding di mahkamah rendah yang diberikan kepada ibu mangsa daripada RM12,000 kepada RM30,000 dan turut mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati responden bertanggungjawab bagi kecuaian yang berlaku.

Namun sebelum itu, keluarga lelaki itu menuntut RM71,400 untuk tuntutan tanggungan dan RM250,000 untuk jumlah kecuaian.

Dilaporkan bahawa Kamarulnizam, yang bekerja di sebuah kilang gula di Pulau Pinang, telah memilih untuk menjalani hukuman penjara kerana memerlukan wang itu untuk memperbaiki kereta meskipun bapanya datang ke mahkamah untuk membayar denda.

Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md. Arshad, Andi Razali Jaya A. Dadi dan Mohd. Ashraf Abd. Hamid hadir bagi pihak polis, pegawai penjara serta kerajaan. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya