Ibu muda didakwa abaikan dua anak kandung - Utusan Malaysia

Ibu muda didakwa abaikan dua anak kandung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAYANG: Seorang ibu muda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan mengabaikan dua anak perempuan kandungnya masing-masing berusia dua dan tiga tahun hingga mengalami kecederaan fizikal, bulan lalu.

Tukang urut berusia 22 itu meminta dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap dua kanak-kanak itu didakwa mengabaikan mereka tanpa pengawasan dan penjagaan sehingga mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pangsapuri di Taman Samudera, Batu Caves di sini pada 26 Jun lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1(A) Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 31(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Shafie tidak menawarkan sebarang jaminan dan tertuduh yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri juga tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh dijamin dan menetapkan 6 September ini bagi sebutan kes dan mendapatkan laporan perubatan kedua-dua kanak-kanak itu.

Sebelum ini media melaporkan, dua kanak-kanak perempuan berusia dua dan tiga tahun ditemui dalam keadaan terabai dengan kesan lebam di tangan, kaki, pipi dan dagu di tepi jalan di Taman Samudera.

Mereka ditemui oleh orang awam pukul 1 tengahari apabila melihat mangsa bermain di kawasan itu tanpa pengawasan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya