KULIM: Kira-kira 20,000 penduduk dari empat buah taman perumahan di Padang Serai di sini mendakwa anak mereka tercicir mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdPR) berikutan masalah capaian internet yang lemah di kawasan tersebut.
Empat buah taman perumahan itu adalah Taman Lagenda, Taman Ria, Taman Seri Wangi dan Taman Mahsuri.
Seorang penduduk, Herman Mukhtar, 38, berkata, anaknya yang belajar di Tahun Tiga di Sekolah Kebangsaan (SK) Pinang Tunggal di sini sering tercicir dalam mengikuti PdPR kerana masalah capaian internet yang lemah di kawasan ini.
“Kebiasaannya anak saya mengikuti PdPR melalui aplikasi Google Meet, namun anak saya tidak dapat membuka aplikasi tersebut sehingga kelas secara online tamat disebabkan capaian internet yang lemah.
“Mujurlah pihak sekolah ada menyediakan modul subjek yang diajar oleh guru, maka bolehlah anak saya menyiapkan tugasan tersebut selepas itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Seorang lagi penduduk, Muhammad Abdullah, 40, berkata, kebiasaannya liputan internet di kawasan perumahan itu agak lancar pada pukul 12 tengah malam hingga pukul 7 pagi sahaja.
Tambahnya, kebanyakan pelajar terpaksa berjaga malam untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru.
“Masalah tersebut dipercayai berlaku berikutan kesesakan rangkaian telekomunikasi pada waktu siang terutama pada sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” ujarnya.
Penduduk, Azahari Mahamad, 45, berkata, dia sebelum ini telah beberapa kali menukar talian telekomunikasi untuk mendapatkan liputan yang baik, namun masalah tersebut tetap sama sahaja.
Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sepatutnya menaik taraf beberapa pencawang yang terdapat di sekitar Padang Serai memandangkan penduduk semakin padat.
“Difahamkan masalah tersebut telah dilaporkan kepada SKMM, namun masih tiada tindakan yang diambil,” katanya. – UTUSAN