TANAH MERAH: Penduduk di sekitar daerah ini digemparkan dengan fenomena hujan air batu yang melanda beberapa lokasi, petang semalam.
Kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu berlaku selama 10 minit turut disaksikan seorang penduduk di Kampung Alor Pasir, Che Siti Nor Azreen Che Ishak, 26.
Menurut Che Siti Nor Azreen, ketika kejadian, dia sedang berehat dalam rumah dan mendengar bunyi hujan yang kuat tidak seperti kebiasaan.
“Saya terus keluar dari rumah dan melihat hujan turun bersama ketulan air batu sebesar ibu jari.
“Memang terkejut dengan keadaan itu kerana ia merupakan kali pertama saya melihat air hujan bersama air batu yang jernih seperti manik,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Che Siti Nor Azreen berkata, meskipun masih terkejut dengan kejadian itu, dia turut mengambil peluang menyimpan ketulan hujan air batu itu.
“Saya sempat mengambil beberapa butir ketulan air batu dan menyimpannya di dalam peti sejuk. Orang tua pernah berpesan, hujan air batu itu boleh dibuat penawar bagi merawat penyakit.
“Memang teruja kerana ini merupakan kali pertama fenomena seperti ini berlaku dan saya dapat melihat kejadian ini di hadapan mata sendiri,” katanya lagi.
Terdahulu, hujan air batu di Tanah Merah semalam tular apabila terdapat beberapa penduduk merakam video kejadian itu dan memuat naik ke media sosial. -UTUSAN ONLINE