PUTRAJAYA: “Tak ada tempat dah.” Itu luahan sumber dalaman di unit forensik Hospital Selayang, Selangor mengenai kapasiti di bahagian forensik hospital tersebut yang tidak dapat menampung jumlah mayat ketika ini.
Menurutnya, ia berikutan jumlah mayat yang diterima semakin meningkat setiap hari susulan pandemik Covid-19 sekali gus kemudahan sedia ada tidak lagi mencukupi.
“Pada pagi ini, kita menerima 47 mayat dengan 16 daripadanya bukan Covid-19 diletakkan di dalam peti ais. Selain itu, 24 mayat positif Covid-19 di dalam kontena, peti mayat dan bilik post mortem.
“Ada lagi mayat yang tidak dapat disimpan dalam peti mayat di mana ia diletakkan di atas meja bilik post mortem selain ada yang terpaksa diletakkan di atas lantai berlapikkan kayu pallet,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Lebih menyedihkan, sumber yang enggan mendedahkan nama itu berkata, mereka terpaksa melakukan pelbagai cara termasuk meletakkan dua mayat di dalam satu peti mayat.
Dalam pada itu, dia mendakwa, atas inisiatif sendiri, pihaknya memohon bantuan wakil rakyat di kawasan tersebut, namun, tiada maklum balas diterima.
“Kami memohon kontena baharu seperti yang diterima oleh Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR). Keadaan sesak di sini ditambah kekurangan kakitangan.
“Difahamkan kontena baharu akan sampai pada bulan Disember berikutan tiada peruntukan. Bagaimanapun, kalau ada sumbangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mungkin lagi cepat,” katanya. -UTUSAN ONLINE