PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju menubuhkan satu lagi Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor serta di Melaka bagi menyokong kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan di dua negeri itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu seterusnya membantu Kementerian Kesihatan menangani situasi pandemik Covid-19 terutama di Selangor ketika ini.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, sehingga kini, Kementerian Kesihatan mengesahkan purata kes harian di Selangor dalam tempoh 14 hari kebelakangan menunjukkan trend peningkatan mendadak dengan jumlah kluster semakin meningkat.
“Pada masa sama, ATM memberi jaminan sentiasa komited dan bersiap siaga jika ada keperluan membina hospital-hospital medan di negeri-negeri yang memerlukan khidmat sokongan kesihatan dalam memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa dilindungi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata, ATM akan berbincang dengan lebih lanjut bersama Kementerian Kesihatan untuk memperincikan semua keperluan bagi menentukan pembukaan hospital medan ATM di Melaka dalam masa terdekat.