KUALA LUMPUR: Pelakon, Adam Corrie mendedahkan sedikit terkesan dengan penceritaan dalam klip video Kering Sudah Air Mata yang didendangkan penyanyi, Munif Hijjaz.
Adam yang tampil dalam klip video berkenaan memberitahu, penceritaan yang digarapkan menyamai dengan realiti kehidupannya.
“Jalan ceritanya ada persamaan dengan hidup saya yang telah memeluk Islam namun masih tidak berjaya membawa ibu bapa dan adik beradik ke dalam agama ini.
“Rasulullah SAW ada menyebut, dakwah yang paling sukar adalah kepada keluarga sendiri. Saya pun sedikit bingung, macam mana nak dakwah keluarga sendiri. Ternyata, hidayah belum sampai kepada mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, disoal pembabitannya dalam klip video tersebut, Adam Corrie memberitahu tidak berdepan masalah melakonkan watak bukan Islam malah cukup faham dengan kehendak dalam membawakan watak tersebut.
“Saya hanya diberitahu jalan cerita ketika sampai di lokasi. Tambahan pula, tiada dialog yang perlu diucapkan, itu lebih memudahkan.
“Oleh itu, Tak ada tekanan sangat. Mudah untuk dapat idea macamana nak bawa watak memandangkan saya faham penceritaannya yang seakan dekat dengan kehidupan sebenar saya,” jelasnya.