'Hentikanlah percakaran sia-sia' - Utusan Malaysia

‘Hentikanlah percakaran sia-sia’

JEMAAH mendengar khutbah Aidiladha disampaikan Imam Besar, Nor Azamir Alias di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua pihak terutama para pemimpin diingatkan agar menumpukan sepenuh usaha dan tindakan dalam mengekang penularan pandemik Covid-19 serta hentikanlah percakaran yang sia-sia.

Perkara itu disampaikan khatib bagi khutbah solat Aidiladha hari ini yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk tiga masjid utama jabatan itu iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini.

Di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, khutbah disampaikan  Imam Besar, Nor Azamir Alias yang turut meminta para pemimpin bersimpati terhadap rakyat dan jangan kerana ketamakan itu menyebabkan rakyat  pula menjadi mangsa.

“Bagaimanakah Allah SWT mahu memperkenan doa kita dan menurunkan rahmat-Nya selagi mana kita masih lagi bergelumang dengan dosa, kemaksiatan dan perpecahan?,” katanya.

Menurut beliau,  walau apa jua keadaan dan perkara yang berlaku, Aidiladha tidak boleh kehilangan makna dan intipatinya, manakala ibadah korban yang dilaksanakan saban tahun memiliki hikmah dan pengajarannya yang banyak jika benar-benar menekuninya.

Katanya, ambillah hikmah  keteguhan dan keikhlasan Nabi Ibrahim AS yang sanggup mengorbankan sesuatu yang  paling dicintainya.

Dalam hal itu, beliau menjelaskan,  ketika semua berjuang melawan pandemik Covid-19, bermacam bentuk cabaran dihadapi dan pastinya, ramai terkesan dari sudut ekonomi, psikologi  dan mental, pendidikan, bahkan, cuaca politik negara juga ada pasang surutnya.

“Seharusnya kita sedar bahawa manusia adalah makhluk sosial yang tidak mampu hidup sendiri. Manusia merupakan makhluk yang memerlukan orang lain dalam banyak  perkara.

“Maka, ketika kita ada kelebihan rezeki dan boleh berkorban, alangkah baiknya  jika kita tidak menunda-nunda lagi. Yakinlah saudaraku, bahawa korban kita akan diterima  Allah SWT dan akan dilipatgandakan pahalanya kerana membantu orang lain yang  sedang mengalami kesusahan dan kedukaan,” katanya.

Khatib berkata, walau dalam suasana negara masih berdepan pandemik Covid-19 yang belum reda, Allah SWT menganugerahkan bermacam kenikmatan dan salah satunya kenikmatan menyambut Hari Raya Aidiladha.

Katanya, pada tahun ini, rakyat masih lagi menyambut Aidiladha dalam suasana mencabar dan  kawalan pergerakan masih lagi diteruskan berikutan bilangan kes harian masih  lagi tinggi dan tidak menentu.

Justeru, katanya, jagalah diri dan kesihatan, selain terus bertaubat  dan bermunajat memohon kepada Allah SWT agar segera diangkat wabak dan musibah ini kerana hanya Allah SWT jualah yang Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu dan hanya  Dia-lah yang Maha Mengabulkan doa hamba-hamba-Nya.

Jelasnya, begitulah sebahagian hikmah dan intipati ibadah korban dalam rangka membentuk diri sebagai Muslim bertakwa yang  mana setiap cabaran  dan ujian perlu dihadapi dengan akal dan tindakan rasional.

“Cabaran yang dihadapi juga memerlukan pengorbanan dan ketabahan tinggi.  Berkorbanlah sebahagian harta yang kita miliki bagi membantu ahli keluarga, saudara mara, jiran tetangga dan sesiapa jua yang sedang dalam kesusahan.

“Korbankanlah masa  tidur kita dengan bangun mendirikan malam untuk bertaubat dan bermunajat kepada Allah SWT. Korbankanlah keseronokan dan hiburan sia-sia dengan menumpukan kepada  pembaikan diri kerana hiburan yang sia-sia itu tidak akan membantu kita menghadapi hari  perbicaraan di Mahsyar kelak,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya