Hasil penyelidikan UMP berkaitan genom Covid-19 diterbitkan untuk rujukan dunia - Utusan Malaysia

Hasil penyelidikan UMP berkaitan genom Covid-19 diterbitkan untuk rujukan dunia

HAJAR Fauzan Ahmad (depan) berpeluang bekerjasama dengan pihak Covid-19 Human Genetics Initiative sejak setahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Hasil kajian penyelidikan Universiti Malaysia Pahang (UMP) bersama pihak Covid-19 Host Genetics Initiative berhubung penjujukan genom manusia yang bertajuk ‘Mapping the Human Genetic Architecture of Covid-19’ kini diterbitkan dalam jurnal Nature yang mendedahkan penemuan 13 lokasi genom manusia berkaitan jangkitan wabak itu di seluruh dunia.

Ini termasuk enam lokus yang tidak dilaporkan dalam kajian genomik manusia Covid-19 sebelumnya.

Usaha pihak antarabangsa itu bermula sejak Mac tahun lalu dan kini berkembang luas dalam kajian mengenai genetik manusia.

Ia merangkumi lebih 3,300 penyelidik dan 46 kajian dari 19 negara membabitkan kohort kajian terbesar bagi kajian Genome-Wide Association Study (GWAS) yang melibatkan dua juta sampel dari seluruh dunia.

Kajian itu diketuai Andrea Ganna dari Institut Perubatan Molekul Finland (FIMM), University of Helsinki; Pengarah FIMM, Mark Daly dan ahli institusi di Broad Institute of MIT and Harvard (Broad Institute).

Sejak lebih setahun bermulanya wabak itu, penyelidik berusaha memahami mengapa sebilangan orang mengalami Covid-19 yang teruk sedangkan yang lain hampir tidak menunjukkan sebarang gejala.

Kajian itu menyasarkan untuk menyiasat peranan genetik manusia dalam jangkitan SARS-CoV-2 dan kesan keseriusan Covid-19.

Penyelidik dan pensyarah kanan Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) UMP, Dr. Hajar Fauzan Ahmad bersyukur berpeluang bekerjasama dengan pihak Covid-19 Human Genetics Initiative sejak setahun lalu.

“Konsortium ini mengumpulkan saintis dari seluruh dunia dan penglibatan serta sumbangan UMP untuk pasukan Scientific Communication ini telah diabadikan dalam naskhah ini.

“Alhamdulillah, ia juga merupakan suatu pengalaman yang menarik apabila berpeluang untuk bekerjasama dengan penyelidik hebat seperti Kumar, Mark Daly dan Andrea,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr. Hajar Fauzan juga turut giat menjalankan kajian penjujukan genom bagi mengenal pasti varian virus yang berlegar-legar di negeri ini.

Beliau kini terlatih dalam kepakaran penjujukan genom mikrob daripada University of Copenhagen, Denmark.

Terkini, naskhah kajian kumpulan beliau yang bertajuk ‘Near-Complete Genome Sequences of Nine SARS-CoV-2 Strains Harbouring the D614G Mutation in Malaysia’ telah diperakui dan diterbitkan di peringkat antarabangsa.

Turut sama dalam penyelidikan itu pensyarah dan pelajar pascasiswazah UMP serta dibantu pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Para penyelidik terdiri daripada Profesor Dr. Gaanty Pragas Maniam, Dr. Ahmad Mahfuz Gazali, Dr. Ummuafeera Zainulabid, Dr. Norhidayah Kamarudin, Dr. Ahmad Hafiz Zulkifly, Dr. Han Ming Gan, Darren Tay, Shing Wei Siew, Dr. Aini Syahida Mat Yassin dan Dr. Ahmad Afif Mohd. Faudzi.

Berkongsi penemuannya dalam kajian ini, menurutnya, kajian itu penting bagi saintis dan pengamal perubatan dalam memahami pola perubahan virus melalui mutasi sepanjang tempoh setahun yang lalu.

“Melalui kajian ini juga, kami dapat memahami bagaimana virus-virus ini membentuk varian-varian yang wujud sehingga kini.

“Selain itu, virus ini adalah kumpulan mikrob yang amat mudah termutasi disebabkan pelbagai faktor manakala hipotesis mendapati virus ini mudah terubah secara mutasi pada susunan jujukan genomnya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya