BOHITIYAWA, Sri Lanka: ‘Dikunjungi’ harimau bintang dan gajah.
Demikian antara cabaran dilalui sekumpulan pelajar di sebuah perkampungan terpencil dekat sini ketika menghadiri kelas secara dalam talian (online).
Selain bertembung dengan haiwan liar tersebut, mereka perlu berjalan sejauh tiga kilometer ke dalam kawasan hutan berbukit bagi mengikuti kelas tersebut.
Al-Jazeera memetik laporan AP, guru dan sebahagian 45 pelajar sekolah turut memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet yang hanya dapat dicapai di kawasan berkenaan.
Guru teknologi maklumat, Nimali Anuruddhika berkata, dia juga menggunakan capaian internet di situ untuk memuat naik modul pelajaran untuk pelajarnya yang belum dibenarkan belajar secara bersemuka di sekolah kerana Covid-19.
Bagaimanapun tidak semua pelajar memiliki telefon bimbit atau komputer riba dengan empat atau lima pelajar berkongsi satu gajet bagi kelas online.
Ibu bapa mereka, yang kebanyakannya adalah petani, sering menemani anak-anak mereka.
Sekolah di negara ini ditutup sejak Mac tahun lalu akibat penularan Covid-19.
Pihak berkuasa berusaha sedaya upaya untuk menyediakan akses internet kepada semua pelajar bagi mengikuti kelas online.