Hanya Perlis izin solat Aidiladha di kawasan lapang, negeri lain ada had - Utusan Malaysia

Hanya Perlis izin solat Aidiladha di kawasan lapang, negeri lain ada had

PERLIS membenarkan jemaah solat sunat Aidiladha di kawasan lapang dan di dalam masjid. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perlis satu-satunya negeri yang membenarkan umat Islam melaksanakan solat sunat Aidiladha di kawasan lapang pada Selasa ini dengan bilangan jemaah ditetapkan berdasarkan saiz keluasan tanah berkenaan.

Menerusi kenyataan berbentuk infografik yang disiarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini, bagaimanapun jika berlaku hujan, jemaah di negeri itu dibolehkan untuk mendirikan solat tersebut dalam masjid.

Ini mengikut kapasiti saiz masjid termasuk solat fardu dan solat Jumaat dengan jemaah perlu dijarakkan 1.5 meter dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Jakim melalui hantaran poster itu memaklumkan, Terengganu turut membenarkan bilangan jemaah mengikut keluasan masjid atau surau dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) manakala Kelantan cuma mengizinkan empat petugas masjid atau surau melaksanakan sesi solat fardu, solat Jumaat dan solat Aidiladha.

Pahang membolehkan 12 orang solat Aidiladha di kesemua 630 masjid dan 1,742 surau iaitu sama bagi solat fardu kecuali di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dengan membenarkan cuma empat jemaah tetapi bertambah kepada 12 orang untuk solat Jumaat, namun masjid negeri membenarkan 100 orang dan masjid kariah hanya had 50 orang.

Sementara di Sabah pula, umat Islam negeri itu dibolehkan memenuhi sehingga satu pertiga ruang solat atau maksimum 30 orang jemaah dengan ketetapan yang mana lebih rendah.

Sarawak mewartakan untuk solat Aidiladha maksimum jemaah 500 orang di masjid negeri dan kurang 150 orang di masjid lain manakala surau pula tidak melebihi 70 orang manakala solat Jumaat dan solat fardu pula ditetapkan 120 orang di masjid negeri dan 100 orang di masjid lain.

Kedah pula ditentukan mengikut warna zon untuk kes tahap Covid-19 dengan hijau, kuning dan jingga dibolehkan seramai 100 orang, tetapi cuma 50 orang di zon merah dan terhad hanya lima orang di lokaliti PKPD dengan urusan solat Jumaat juga digantung.

Pulau Pinang membenarkan 150 orang untuk masjid negeri dan lima masjid daerah manakala 100 orang di kesemua 207 masjid kariah dan 50 orang di 554 buah surau, selain Perak, jumlah jemaah solat Aidiladha dibenarkan mengikut ruang dengan jarak satu meter yang sama dengan ibadah solat fardu tetapi solat Jumaat ditetapkan had minimum 40 orang.

Di Selangor, hanya 50 orang jemaah untuk solat Aidiladha di kesemua 421 masjid manakala 40 orang di 259 buah surau kebenaran Jumaat ekoran situasi serius Covid-19 di negeri itu yang berbeza dengan sebelum ini iaitu sejak beberapa bulan lalu cuma enam orang dibolehkan menunaikan solat fardu dan solat Jumaat di masjid atau surau di negeri itu.

Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, solat Aidiladha dihadiri 300 orang di masjid utama dan 100 orang lagi di lapan masjid zon, sementara untuk 80 masjid kariah dan 115 surau Jumaat di ketiga-tiga wilayah itu, dibolehkan 50 orang serta 12 orang di surau biasa yang sama bilangan jemaahnya untuk solat Jumaat.

Di Negeri Sembilan, had jemaah untuk solat Aidiladha menyerupai solat Jumaat dan fardu iaitu 12 orang di semua masjid atau surau kecuali lokaliti PKPD yang larang solat hari raya itu, manakala Melaka membenarkan sehingga 500 orang untuk solat Aidiladha di kesemua 10 masjid kerajaan, 100 orang di 184 masjid kariah/institusi dan 50 orang di 811 buah suraunya.

Bilangan ini meningkat berbanding solat Jumaat yang mengehadkan 250 orang di masjid kerajaan selain solat fardu cuma 50 orang di semua masjid dan 20 orang di surau negeri itu.

Johor pula mewartakan solat Aidiladha dihadiri 50 orang sahaja di 822 masjid dan hanya 20 orang di 2,042 surau di seluruh negeri tersebut sama seperti bilangan jemaah solat Jumaat, bagaimanapun, jumlah maksimum jemaah solat fardu untuk kedua-dua masjid dan surau di negeri berkenaan ditetapkan tidak melebihi 20 orang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya