LONDON: England menewaskan Denmark 2-1 di separuh akhir Euro 2020 dan kini hanya tinggal 90 minit lagi untuk menamatkan kemarau 55 tahun tanpa trofi buat Three Lions.
Anak-anak buah Gareth Southgate dijadual bertemu Itali awal pagi Isnin ini dengan naluri mereka begitu yakin untuk meraih kemenangan pertama di kejohanan utama sejak kali terakhir di Piala Dunia 1966.
Namun Denmark terlebih dahulu menghukum keceriaan di Stadium Wembley dengan jaringan Mikkel Damsgaard pada babak pertama dan ia adalah kali pertama gawang gol England dibolosi di sepanjang kejohanan kali ini.
Penonton tampak cemas dengan jaringan berkenaan namun England menyamakan kedudukan selang 10 minit selepas itu apabila Simon Kjaer menjaringkan gol sendiri.
Harry Kane menceriakan kembali suasana di Stadium Wembley dengan jaringannya pada minit ke-104.
“Satu prestasi yang menakjubkan – kami perlu berusaha gigih selepas gawang gol dibolosi buat pertama kalinya dalam kejohanan ini dan kami kembali bersatu dan menunjukkan semangat berpasukan yang baik untuk bangkit memenangi perlawanan ini,” kata Raheem Sterling.
Meskipun dengan kemeriahan kemenangan di Stadium Wembley, Sterling tetap menegaskan yang fokus utama pasukan ketika ini perlu pantas beralih kepada aksi final bertemu Itali.
“Ia satu lagi langkah baharu yang berada di landasan tepat.
“Namun apabila kami kembali ke bilik persalinan, ia sudah berakhir (keraian) dan kami perlu fokus untuk hujung minggu nanti,” katanya. – AFP