Hafarizam bebas tuduhan pengubahan wang haram selepas bayar kompaun hampir RM600 ribu - Utusan Malaysia

Hafarizam bebas tuduhan pengubahan wang haram selepas bayar kompaun hampir RM600 ribu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada tiga pertuduhan pengubahan wang berjumlah RM15 juta selepas membayar kompaun sebanyak RM590,587.26.

Hakim Suzana Hussin memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan menarik balik ketiga-tiga pertuduhan terhadap Penasihat Undang-Undang UMNO itu dan bersetuju menawarkan kompaun kepadanya.

Dalam prosiding sebutan hari ini, Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd. Yusoff dan Mohd. Ashrof Adrin Kamarul mewakili pihak pendakwaan.

Tertuduh pula diwakili oleh barisan peguam bela terdiri daripada Datuk Hasnal Rezua Merican, Datuk M. Reza Hassan, Datuk Abu Bakar Isa Rahmat, Amin Othman dan Muzammil Merican.

Sementara itu, Hasnal Rezua ketika ditemui pihak media sejurus selepas prosiding itu memberitahu, tawaran kompaun itu dipersetujui oleh anak guamnya dan telah dijelaskan semalam.

Menurut beliau, ini bermakna tiada pertuduhan baharu yang boleh dikenakan terhadap peguam tersebut.

Dengan keputusan tersebut, Mohd. Hafarizam kini bebas daripada semua tuduhan pengubahan wang haram yang mengaitkannya dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada 3 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan (DNAA) peguam tersebut daripada dua pertuduhan pengubahan haram berjumlah RM15 juta. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya