Guna pakai gabungan vaksinasi, Ivermectin tangani Covid-19 - Utusan Malaysia

Guna pakai gabungan vaksinasi, Ivermectin tangani Covid-19

IVERMECTIN digunakan bagi merawat Covid-19 di Afrika Selatan walaupun belum dibuktikan secara klinikal. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyokong gesaan Gabungan Malaysia bagi Kawalan Covid Berkesan (MAECC) supaya ubat Ivermectin digunakan di bawah Kebenaran Penggunaan Kecemasan (EUA) bersama dengan program vaksinasi dalam melawan pandemik Covid-19.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, kerajaan perlu memberikan maklum balas positif terhadap gesaan itu kerana ia adalah untuk menyelamatkan nyawa.

Jelas beliau, banyak kajian yang didokumentasikan dengan baik menunjukkan penggunaan Ivermectin mengurangkan risiko mendapat Covid-19 sehingga lebih 90 peratus dan kematian sehingga 68 sehingga 91 peratus.

Tambahnya, Ivermectin berisiko rendah selain kosnya juga rendah dan merupakan ubat yang sudah mapan serta sedia didapati selain telah digunakan selama berdekad walaupun untuk indikasi berbeza.

“CAP menggesa kerajaan supaya membenarkan penggunaan Ivermectin sebagai rawatan Covid-19 memandangkan statistiknya semakin meningkat.

“Pada saat genting pandemik ini, kerajaan seharusnya dengan serius menggunakan Ivermectin bagi rawatan Covid-19 bersama dengan program vaksinasi yang baru berjaya menyediakan 36.13 peratus daripada jumlah penduduk dengan dos pertama dan 16.90 peratus dengan dos kedua,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jika diterima pakai, Malaysia akan menjadi antara 32 negara di seluruh dunia yang menggunakan ubat Ivermectin dalam program rawatan dan pencegahan Covid-19 yang berjaya.

Menurut Mohideen, berikutan pemberian vaksinasi yang perlahan dan kelewatan hasil ujian Ivermectin yang hanya bermula pada bulan lalu, kerajaan tidak boleh menunggu lebih lama apabila berdepan dengan gelombang jangkitan varian yang lebih tinggi.

Jelas beliau, sistem penjagaan kesihatan negara juga sudah berada di bawah tekanan akibat bilangan kes positif harian yang semakin meningkat.

Tambahnya, selepas lebih setahun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga negara kini semakin menderita ekonomi dan ramai rakyat mengalami masalah kesihatan mental.

“Pengalaman negara yang menggunakan Ivermectin menangani dengan pandemik Covid-19 memberikan harapan memulihkan kembali keadaan normal di negara kita,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya