Guan Eng gagal pindah kes ke mahkamah tinggi - Utusan Malaysia

Guan Eng gagal pindah kes ke mahkamah tinggi

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Perbicaraan kes bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng atas pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu kekal dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini, esok.

Hal ini ekoran Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan Guan Eng agar kesnya dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Dalam penghakimannya, Muhammad Jamil berkata, sebarang persoalan undang-undang boleh ditangani dan diputuskan oleh Mahkamah Sesyen.

Kata beliau, Hakim Mahkamah Sesyen juga mempunyai kelayakan undang-undang dan sangat berpengalaman untuk membicarakan kes terhadap pemohon.

“Hakim juga mempunyai kebolehan dan mampu menangani sebarang persoalan undang-undang yang berbangkit. Mahkamah mendapati pemohon gagal mematuhi 417(1)(d) Kanun Acara Jenayah,” katanya.

GOBIND SINGH DEO

Sejurus selepas mendengar keputusan itu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng kemudian memohon mahkamah membenarkan penangguhan kes di Mahkamah Sesyen sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, pihaknya membantah permohonan tersebut memandangkan pendakwaan sudah menyusun saksi-saksi untuk perbicaraan pada minggu ini.

Ujarnya, saksi-saksi yang dipanggil bukan datang dari negeri Selangor dan Negeri Sembilan, sebaliknya dari Pulau Pinang.

Pada Khamis lalu, Guan Eng selaku pemohon memfailkan permohonan untuk perbicaraan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi supaya keputusan membabitkan kes berkenaan boleh dirayu ke Mahkamah Persekutuan.

Pada prosiding yang lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi yang akan mendengar perbicaraan itu telah menetapkan  tarikh perbicaraan pada 8 hingga 11 Jun; 12 hingga 16 Julai; 28 dan 29 Julai, 16 hingga 20 Ogos, 6 hingga 10 September, 20 hingga 24 September dan 13 hingga 17 Disember.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 61, didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang telah menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya sendiri wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR, Georgetown, Pulau Pinang mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa semasa menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang telah meminta suapan iaitu balasan berjumlah 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Zarul sebagai upah bagi melakukan perkara yang dicadangkan iaitu membantu syarikat milik ahli perniagaan tersebut dilantik untuk projek sama.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu  berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011, antara pukul 12.30 pagi hingga 2 pagi, mengikut Seksyen 16 Akta SPRM yang membawa hukuman penjara hingga  20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Bagan itu juga didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan dan lima tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Guan Eng dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR di sini, pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Dalam perbicaraan itu 125 saksi pendakwaan termasuk beberapa Exco dari negeri Pulau Pinang dijangka akan dipanggil memberi keterangan. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya