Graf populariti Aedy Ashraf - Utusan Malaysia

Graf populariti Aedy Ashraf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN setahun dua dia menghuni dunia seni tanah air.

Malah, angka 20 tahun juga cukup untuk membuktikan bahawa Aedy Ashraf sudah membesar sebagai seorang aktor yang berpengalaman. Sementelah sejak dari kecil, lapangan senilah yang menjadi gelanggang permainannya.

Bukan tidak popular. Tetapi mungkin ketika kecil apalah sangat cerita kontroversi yang pandai direka berbanding artis-artis dewasa lain sewaktu itu.

Biarpun mungkin populariti itu datang terlambat, namun apa salahnya momen bahagia ini didakap erat oleh Aedy sekali gus menyaksikan segala usaha dan hempas pulasnya kini seolah-olah telah berbayar.

“Saya sedar, baru-baru ini menerusi drama Projek Anchor (Astro) dan Budak Tebing (TV3), perhatian itu mula tertumpu pada diri. Mungkin kerana watak yang dibawakan itu sesuai dengan saya dan membuatkan orang mula nampak Aedy Ashraf.

“Mungkin sebelum ini banyak naskhah lakonan saya, karakternya tidak begitu menyerlah atau kurang menjadi. Mungkin juga naskhah itu sendiri tidak berjaya menarik perhatian penonton, saya tidak pasti.

“Tetapi, apa pun saya bersyukur dengan apa yang dimiliki sekarang,” katanya.

Mengaku sekarang baru pandai bersikap memilih dalam menentukan sebarang naskhah yang akan dilakonkan, Aedy ada sebab berbuat demikian. Semuanya kerana mahu memastikan kerjayanya tidak terus tenggelam.

Kata pelakon ini, dia selalu merasakan dirinya bukan seorang aktor yang hebat.

Bagi memastikan dirinya mampu mencapai jangkaan itulah maka dia perlu akur bersikap sedikit cerewet.

“Dalam diri saya ini sudah terlalu lama buat sesuatu yang sama. Dalam erti kata lain, sudah lama sangat berlakon. Saya tak nafikan, adakala timbul rasa bosan sepatutnya ia membawa keseronokan pada diri. Iyalah, minat bukan?

“Jadi, sejak tiga tahun lalu saya dah mula memilih untuk buat diri rasa teruja bila buat sesuatu naskah yang betul-betul disukai dan menarik.

“Saya nak pastikan yang kerja itu dibuat bukan sebab duit sahaja, tapi sebab memang saya nak terlibat,” katanya.

Menurut Aedy, dia percaya, strategi begitu mampu menyuntik impak pada kerjaya seni dan hidupnya sementelah dia cuba mengikut jejak langkah sahabat-sahabat artisnya yang lain.

“Bukan saya seorang sahaja, contohnya sahabat saya, Syafie Naswip pun mengaplikasikan strategi yang sama. Saya bercakap mengenai kebanyakan pelakon yang bermula sebagai pelakon cilik.
“Sebenarnya, ramai saja kalangan kami ini ada rasa bosan itu, tetapi sama ada mereka nak atau tak nak lakukan perubahan. Itu sahaja,” katanya.

Dewasa atau sentiasa muda?

Mengajaknya bercerita mengenai kepercayaan pengarah dan penerbit terhadapnya untuk menggalas tanggungjawab sesuatu watak, Aedy tidak menolak bahawa sudah sering dirinya tidak dianggap ‘cukup dewasa’ untuk sesetengah karektor itu.

Katanya, ia barangkali ada kaitan dengan rupa parasnya yang kelihatan masih remaja walaupun usianya sudah menjangkau 28 tahun.

“Ramai masih anggap saya tak layak bawa watak dewasa. Bagi saya okey sahaja tak ada masalah. Tak ada isu pun sebab walaupun selalu bawa watak muda, bukanlah bermaksud kita tidak tua.

“Peluang itu kita gunakan sahajalah. Okey juga selalu nampak muda bukan? Satu hari nanti, saya tahu pasti akan dapat bawa watak yang lebih dewasa. Contohnya watak bapa atau datuk, kita ini pelapis.
“Sekarang ini bawa sajalah watak remaja sebab saya tahu ini adalah peluang yang ada untuk terus ada dalam industri,” katanya.

Aedy dan Daiyan Trisha

Mengusik dirinya yang kelihatan sangat serasi dengan pelakon cantik, Daiyan Trisha, Aedy tidak menafikan perkara tersebut.

Katanya, ia malah sangat ketara menerusi gandingan kedua-duanya dalam drama Projek Anchor sebelum ini yang berupaya mencipta fenomena tersendiri terutama dalam kalangan generasi muda yang meminati drama tersebut.

Gembira dengan pujian yang diberikan, Aedy mengaku, sebenarnya banyak usaha yang dilakukannya demi menjayakan watak remaja bernama Aizat itu dan begitu juga dengan Daiyan.

“Saya pun puji usaha yang Daiyan dalam sama-sama mencurahkan komitmen yang tinggi dalam drama tersebut. Bukan kami sahaja, semua pelakon dalam drama itu pun berkongsi semangat yang sama.

“Ingin saya tekankan di sini, kejujuran dalam teknik lakonan adalah penting. Ini adalah apa yang saya belajar daripada aktor senior yang dikagumi, Wan Hanafi Su.

“Kalau lakonan kita jujur, ia akan terserlah dan dapat dirasai oleh penonton,” katanya.

Berkongsi lanjut, kata pelakon kelahiran Tumpat, Kelantan ini, tentulah apabila sering dilihat watak remaja maka dia akan ditanya tentang kebimbangan sama ada mampukah dirinya memberikan contoh yang baik buat generasi muda.

“Saya percaya, setiap cerita yang saya lakonkan, semuanya pasti ada mesej dan mesej itulah yang ingin saya sama-sama sampaikan kepada masyarakat luar.

“Saya lebih memilih untuk orang hargai watak yang saya bawa daripada menjadikan diri saya sebagai individu contoh. Lebih selesa begitu rasanya.

“Sebab saya tahu, adakala sebagai manusia kita pun ada lakukan kesilapan dan untuk menjadikan saya ikon atau contoh terbaik itu, rasanya tidak perlu. Lihatlah pada watak yang dibawakan kerana saya percaya sesuatu watak mampu memberi impak di mata penonton,” katanya merendah diri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya