MILAN: Penyerang Perancis, Olivier Giroud melengkapkan perpindahan ke AC Milan, hari ini.
Bintang berusia 34 tahun dan pemenang Piala Dunia itu menjalani ujian perubatan semalam sebelum menandatangani kontrak bersama naib juara Serie A itu yang kembali beraksi di Liga Juara-Juara musim depan.
“AC Milan berbangga untuk mengumumkan menandatangani Olivier Giroud menerusi perpindahan secara kekal dari Chelsea.
“Penyerang Perancis itu akan memakai jersi bernombor sembilan,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.
Chelsea melanjutkan kontrak Giroud bulan lalu selama setahun sehingga Jun 2022 namun dia memilih untuk berhijrah dari Stamford Bridge selepas hanya membarisi kesebelasan utama di Liga Perdana sebanyak lapan kali musim lalu.
“Kepada penyokong Chelsea dan rakan sepasukan, jurulatih dan seluruh kelab, terima kasih atas segala detik istimewa. Saya akan memulakan cabaran baharu dengan rasa gembira.
“Kemenangan yang diraih di Piala FA, Liga Europa dan Liga Juara-Juara sangat luar biasa,” katanya di laman Twitter.-AFP