Walaupun muzik Hip Hop di Brunei Darussalam tidak terlalu popular, Muhammad Asmai Syarifuddin Zulhilmi kekal optimis untuk meningkatkan kesedaran adegan itu dan menonjolkan diri sebagai penyanyi rap pertama berasal dari negara berkenaan.
“Pada mulanya, muzik hanya saya jadikan sebagai hobi. Pada 2018, saya mencipta lagu pertama berjudul She Wonders Why yang dikeluarkan di platform Soundcloud.
“Kemudian, setelah berusaha untuk menghasilkan sembilan lagu, saya telah mengeluarkan EP pada tahun lalu berjudul Confessions. Sejak itu, saya mula lihat muzik dalam perspektif yang berbeza dan membuat keputusan untuk menjadikannya sebagai karier,” katanya kepada Pancaindera.
Namun begitu, pemuda berusia 20 tahun yang lebih gemar dipanggil Asmai itu tetap tidak mengabaikan ilmu pendidikannya kerana di samping membuat muzik, dia juga sedang melanjutkan pelajarannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengurusan Operasi Rantaian Bekalan.
Asmai memberitahu, langkah demi langkah, dia akan cuba untuk menjadikan Brunei sebagai antara hub muzik hip hop yang digemari.
Justeru, sebahagian daripada usaha mencapainya, Asmai berkolaborasi dengan Swanz yang juga dari Brunei dan Yaph dari Malaysia untuk mengeluarkan lagu bertajuk Sebentar.
Mengulas mengenai lagu itu, Asmai menjelaskan ia mengisahkan tentang pasangan kekasih yang bercinta pada waktu yang salah.
“Situasi itu pasti ramai yang sudah mengalaminya. Sebagai contoh, jatuh cinta dengan seseorang yang kita tahu kita takkan dapat.
“Bahagian yang saya nyanyikan dalam lagu tersebut adalah hasil ciptaan lirik sendiri. Inspirasi lirik itu juga adalah daripada pengalaman sendiri,” ujarnya.
Sementara itu, pemilik nama Marwan Alryd (Yaph) yang merupakan antara artis baharu di Malaysia berkata, lagu Sebentar itu adalah kolaborasi pertamanya bersama artis-artis dari Brunei.
Jelasnya, lagu itu menceritakan tentang hubungan yang sebenarnya menyebelahi kepada satu pihak sahaja.
“Ia mempunyai nada tersendiri dengan penulisan moden dan terkini. Melodinya juga santai-santai sahaja sesuai untuk didengar semua.
“Bekerja dengan Asmai dan Swanz adalah satu pengalaman istimewa buat saya. Mereka begitu profesional dan sering berkongsi idea yang banyak memberikan inspirasi,” jelasnya yang berusia 27 tahun.
Yaph berkata, dia berterima kasih kepada pengurus dan pasukannya kerana menjayakan projek kolaborasi antara Brunei dan Malaysia itu.
Lagu itu akan dilancarkan di semua platform digital setelah mereka selesai membuat penggambaran muzik video kira-kira dalam masa dua minggu lagi.