PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan mahkamah terdahulu yang mendapati portal berita, Malaysiakini dan tiga lagi telah menerbitkan artikel dan video berunsur fitnah berkaitan aktiviti perlombongan emas di Bukit Koman, Raub, Pahang, hampir tujuh tahun lalu.
Dalam keputusan majoriti 3-2 itu, pengendali portal terbabit, Mkini DotCom Sdn. Bhd. dan tiga lagi individu daripada pasukan editorial mereka selaku perayu turut diperintahkan untuk membayar kos sebanyak RM200,000.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan memerintahkan kesemua perayu terbabit untuk membayar ganti rugi sebanyak RM200,000 dan kos sebanyak RM150,000 selepas mendapati mereka telah memfitnah Raub Australia Gold Mining (RAGM) sekali gus membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Syarikat perlombongan itu kini tidak lagi beroperasi.
Dua hakim Mahkamah Persekutuan yang menentang terhadap keputusan itu ialah Datuk Vernon Ong Lam Kiat yang mengetuai panel lima hakim tersebut dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal.
Ketika membacakan penghakiman majoriti, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli menyatakan, berdasarkan pliding dan kandungan tiga artikel dan video yang diterbitkan, adalah jelas perayu mempercayai bahawa kenyataan berbaur fitnah yang diterbitkan ada benar dan tepat.
“Perayu dalam pernyataan pembelaan mereka tidak menafikan bahawa mereka mempunyai ‘kepercayaan’ sedemikan dan sebaliknya hanya membuat laporan yang tidak berpihak kepada sesiapa,” katanya.
Sehubungan itu, jelas hakim terbabit, Mahkamah Rayuan telah membuat penghakiman yang betul apabila membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini berpihak kepada portal berita terbabit.
Turut bersetuju dengan penghakiman tersebut ialah Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Puan Sri Zaleha Yusof dan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim.
Pada 23 Mei 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan yang berpihak kepada Malaysiakini dan tiga yang lain dan mengarahkan RAGM untuk membayar kos sebanyak RM50,000.
Bagaimanapun pada 11 Jan 2018, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas membenarkan rayuan syarikat lombong itu.