Felda Kenanga Jengka 7 sekali lagi kena PKPD - Utusan Malaysia

Felda Kenanga Jengka 7 sekali lagi kena PKPD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas pernah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) awal bulan lalu, Felda Kenanga Jengka 7 sekali lagi diletakkan arahan sama mulai Khamis ini, berkuat kuasa sehingga 11 Ogos ini.

April lalu, seramai 200 orang meliputi 40 keluarga di skim tanah itu terpaksa menyambut Ramadan dalam keadaan dikuarantin susulan penularan ketika mesyuarat di Felda tersebut dan kemudian diwartakan PKPD dari 11 hingga 14 Jun lalu ekoran Kluster Rantau Kenanga disebabkan anak peneroka balik menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sejumlah 34 lokaliti di negara ini juga bakal dikenakan PKPD secara serentak antaranya di Ladang Kerilla, Jajahan Tanah Merah, Kelantan manakala di Johor melibatkan asrama pekerja tapak pembinaan di Taman Bukit, Kluang serta Kampung Pertanian dan Kampung Separa, Mukim Senai, Kulai.

“Di Sarawak, empat lokaliti dalam Bahagian Kuching turut dikenakan perintah sama iaitu Kampung Jawa Batu 12, Kampung Bumbok dan Kampung Telaga Air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hishammuddin menambah, Sabah paling banyak lokaliti dilaksanakan PKPD dengan 11 daripadanya terletak di Kota Kinabalu meliputi Kampung Unggun, Kampung Kalasanan, Kampung Tebobon, Kampung Pulau Penampang, Taman Bukit Setia, Taman Putera Jaya, Bandar Sierra, Bandaran Segama, Plaza Kingfisher, Polytechnic Commercial Centre serta Lorong Cina 1, 2 dan 3.

Katanya, ia turut dilaksanakan di lapan lokaliti di Penampang iaitu Kampung Nabangkung, Kampung Sarapung Kolopis, Kampung Ramayah, Kampung Tuunon, Taman Vistan Kiranau, Vista Minitod, Country Height Fasa 1 dan Cyber City Fasa 1.

“Empat lokaliti pula terletak di Beaufort iaitu Kampung Lumadan, Kampung Kebulu Petani, Kampung Beaufort Selatan dan Taman Arjuna, selebihnya dalam Bahagian Tawau iaitu Kampung Blok 31, Kampung Tanjung Batu Darat dan Kampung Darat Inderasabah serta Perumahan Ladang Tinabau, Kinabatangan,” katanya.

Bagaimanapun, Hishammuddin memaklumkan tiga lokaliti di negeri tersebut ditamatkan PKPD seperti dijadualkan esok melibatkan kawasan Projek Perumahan Rakyat Lintas Sibuga, Sandakan serta Kampung Telaga dan Kampung Pituru, Pitas.

Turut berakhir PKPD ialah Felda Kesidang Jengka 8, Jerantut, Pahang; Kampung Jagoi Duyoh, Bau, Kuching, Sarawak dan Taman Samudera, Mukim Batu, Gombak, Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya