PETALING JAYA: Biarpun gagal memahat sejarah mara ke pusingan akhir all-around individu wanita, ratu gimnastik negara, Farah Ann tetap gembira dengan prestasi yang ditunjukkan dalam penampilan sulung Sukan Olimpik Tokyo 2020 hari ini.
Farah Ann, 27, menutup kempen kelayakan di tangga ke-53 daripada 85 peserta selepas mengumpul l 48.565 mata keseluruhan di Pusat Gimnastik Ariake itu. Hanya 24 gimnas terbaik layak bertanding dalam final, Rabu ini.
Selepas mengharungi empat aparatus, Farah, 27, mengumpul 48.565 mata keseluruhan di Pusat Gimnastik Ariake itu.
Dia yang memulakan aksi dengan disiplin palang bertingkat mengutip 11.600 mata sebelum meraih 11.566 untuk batang titian.
Aksi Farah dalam senaman lantai pula menyaksikan dia mengutip 12.333, sebelum mendapat mata tertinggi dalam melombol yang juga aparatus terakhirnya dengan catatan 13.166 mata.
Gimnas Amerika Syarikat (AS), Simone Biles terus mencuri tumpuan apabila menduduki tangga teratas diikuti rakan senegaranya Sunisa Lee selepas mengumpul 57.731 mata dan 57.166 mata.
Atlet Rusia, Angelina Melnikova menduduki tangga ketiga dengan kutipan mata 57.132.
“Saya sudah beri segalanya tapi tidak berjaya. Saya cuba ‘move on’ dan buat yang terbaik dalam kejohanan akan datang,” kata Farah Ann.