ROME: Pengendali England, Gareth Southgate bersedia membariskan Jadon Sancho dalam kesebelasan utama untuk berdepan Ukraine dalam saingan suku akhir Euro 2020 di Stadium Olimpik, Rome, sebentar nanti (pukul 3 pagi waktu Malaysia).
Baru-baru ini, pemain berusia 21 tahun itu meraih perhatian selepas sah berpindah dari Borussia Dortmund ke Manchester United dengan nilai 73 juta pound (RM420 juta).
Mason Mount juga dijangka kembali berada dalam skuad utama semula selepas Southgate berhasrat menggunakan formasi kegemarannya 4-2-3-1 daripada 3-4-3 semasa menang ke atas Jerman, Rabu lalu.
Southgate berkata, agak mustahil untuk memastikan semua orang gembira selepas terdapat desakan daripada penyokong mahupun pengulas sukan agar Jack Grealish disenaraikan dalam kesebelasan utama.
“Agak mustahil untuk memilih pemain yang akan memuaskan hati semua pihak. Kami perlu memilih pemain yang tepat dan pada masa yang betul.
“Semangat Raheem Sterling kini semakin membara. Jaringannya membuatkan pasukan lain sukar untuk menafikannya.
“Situasi yang agak getir untuk pasukan. Semua pemain dalam keadaan baik sekarang dan mereka juga bagus dalam situasi satu lawan satu,” kata Southgate.- AGENSI