ROME: England semakin hampir untuk mengucup trofi Euro buat kali pertama apabila mara ke separuh akhir selepas membenam Ukraine 4-0 di Stadium Olimpik, sekali gus mengekalkan perjalanan tanpa bolos mereka setakat ini.
Kejayaan tersebut juga menyaksikan skuad bimbingan Gareth Southgate mara ke peringkat empat pasukan terbaik dalam kejohanan besar buat kali kedua berturut-turut selepas Piala Dunia 2018.
Dalam saingan tersebut, skuad Three Lions terlebih dahulu mengejutkan Ukraine menerusi jaringan penyerang Harry Kane seawal minit keempat selepas memanfaatkan hantaran Raheem Sterling.
Juara dunia 1966, England kemudian mengganas di babak kedua menyaksikan pertahanan Harry Maguire menanduk masuk sepakan bebas yang dilakukan oleh Luke Shaw pada minit ke-46.
Gol ketiga hadir menerusi pemain Tottenham Hotspur, Kane pada minit ke-50, manakala pemain tengah Jordan Henderson melengkapkan kemenangan bergaya selepas 13 minit berselang.
England menempah pertemuan dengan Denmark yang terlebih dahulu layak ke separuh akhir setelah menundukkan Republik Czech 2-1 di Stadium Olimpik, Baku, hari ini.