LONDON: Bekas kapten England, Alan Shearer percaya skuad Three Lions berdepan laluan mudah untuk ke pentas akhir Euro 2020, sekali gus berpotensi menjuarai kejohanan itu buat pertama kali.
Bercakap kepada BBC Sports, bekas penyerang Newcastle itu berkata, Ukraine dan pemenang suku akhir sama ada Denmark atau Republik Czech, dilihat tidak mampu menghalang kemaraan England ke Final.
Skuad bimbingan Gareth Southgate menumbangkan Jerman 2-0 dalam saingan peringkat 16 terakhir, manakala Ukraine menundukkan Sweden 2-1.
“Ini adalah peluang terbaik untuk England menamatkan penantian. Selepas mereka mengalahkan Jerman pada malam itu, ia seakan memberi harapan besar buat Three Lions dan kami tidak sabar melihat aksi seterusnya.
“Sebelum sepak mula Euro 2020 lagi, saya mahu melihat England dalam kejohanan kali ini membuktikan apa yang mereka miliki sekarang selepas mengharungi detik sukar beberapa bulan lalu.
“Itulah yang England berikan kepada kami sekarang dan saya harap lebih banyak perkara sebegini akan datang.
“Saya berasakan kira-kira 140,000 penyokong berada di Stadium Wembley pada Selasa lalu biarpun hakikatnya 40,000 sahaja.
“Pasukan kebangsaan juga memberikan reaksi baik kepada penyokong, terutama di babak kedua. Sungguh menakjubkan suasana di sana ketika itu, termasuk memperoleh keputusan positif.
“Akan bertambah kepada 60,000 penonton di separuh akhir nanti jika England dapat mengatasi Ukraine di suku akhir di Rom dan bermain semula di depan penyokong sendiri adalah sesuatu yang mengagumkan,” kata Shearer. – AGENSI