PASIR PUTEH: Enam kubu tentera British yang tenggelam di dasar laut Pantai Bisikan Bayu, di sini akan diangkat semua ke darat untuk dijadikan monumen bersejarah Kelantan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim berkata, kubu yang dibina penjajah sebelum perang dunia kedua itu boleh dilihat ketika air laut surut.
Katanya, ia wajar diangkat semula ke daratan sebagai monumen sejarah kesan penjajahan yang tidak sepatutnya berulang.
Menurutnya, usaha ini adalah sebahagian strategi untuk membangunkan industri pelancongan setempat selain prasarana lain yang dibangunkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Kita akui pandemik Covid-19 menyebabkan industri perhotelan dan resort yang diusahakan penduduk tempatan terkesan.
“Ketiadaan pengunjung sebelum ini menyebabkan penduduk yang berniaga makanan dan minuman secara kecil-kecilan sudah gulung tikar,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pembangunan di Pantai Bisikan Bayu, di sini, hari ini.
Menurutnya, PBT akan terus membangunkan kawasan itu menerusi peruntukan RM800,000 selain melaksanakan program panorama hijau dengan menanam semula pokok-pokok rhu.
Katanya, keunikan semulajadi pantai yang menjadi lubuk kaki pancing dan lokasi melihat matahari terbit menjadi aset untuk menarik minat pelancong berkunjung ke pantai berkenaan
“Jentera berat akan digunakan untuk mengorek dan membawa kubu itu ke daratan. Lain-lain pakej pelancongan yang akan dilaksanakan ialah usaha menghidupkan semula Bukit Peraksi sebagai tempat mendaki dan joging.
“Pelancongan menyusur pesisir sungai Semerak dan penerokaan ke hutan semulajadi bakau juga dalam proses perancangan,” ujarnya, – UTUSAN ONLINE