KUANTAN: Seorang penyelia ladang dipercayai bersama tiga lagi konconya yang mengedar dadah bagi kawasan Rompin dah Bera, dekat sini diberkas polis dalam satu penahanan, pada petang Sabtu lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, hasil daripada penahanan suspek di tepi jalan Kuantan-Seremban, dekat Rompin, polis membuat rampasan dadah disyaki jenis Heroin seberat 4.6 kilogram bernilai RM51,500.
Menurut beliau, rentetan daripada penahanan itu sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkiotik (JSJN) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Rompin membuat penahanan lanjut ke atas tiga individu lain yang mana dua daripadanya masyarakat Orang Asli, di Bandar Muadzam Shah, Rompin.
“Ujian saringan awal (urin) mendapati semua suspek yang ditahan adalah positif dadah dan hasil semakan mendapati mereka mempunyai beberapa rekod kesalahan dadah serta jenayah.
“Siasatan mendapati suspek memperoleh bekalan dadah jenis heroin daripada Lembah Klang untuk diedarkan ke kawasan Felda khususnya Rompin dan Bera.
“Sindiket ini dipercayai sudah bergiat aktif selama tiga bulan lalu dan dianggarkan rampasan dadah tersebut boleh membelkan kepada kira-kira 9,270 orang penagih,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Pahang di sini hari ini.
Jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan semua wang tunai serta kenderaan bernilai RM76,900.
Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, JSJN telah membuat tangkapan ke atas 5,311 orang bersamaan 4,569 kes melibatkan nilai rampasan perlbagai jenis dadah berjumlah RM3.96 juta.
Dengan itu, Ramli berkata, semua suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama seminggu bermula semalam sehingga 10 Julai ini.
Bagaimanapun, katanya, kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan, semua suspek boleh dihukum gantung sampai mati. – UTUSAN ONLINE