KUALA KANGSAR: Lambakan durian kampung di daerah ini menyebabkan harga raja buah itu jatuh sehingga ada yang menjualnya secara longgok.
Jika sebelum ini durian kampung dijual antara RM10 hingga RM15, kini buah berkenaan dijual serendah RM4 sekilogram, mengikut gred.
Seorang peraih dan penjual durian di Kati, dekat sini, Muhammad Nazri Abdullah berkata, musim durian di Kuala Kangsar kini berada di dalam fasa kedua yang mana buah sudah banyak luruh.
Katanya, berikutan itu kebanyakan penjual dan pemilik dusun durian mula menjual pada harga murah bagi memastikannya tersebut terjual.
“Seperti yang kita tahu larangan merentas daerah dan negeri menyebabkan durian kampung dijual lebih murah kerana tiada orang luar datang membeli.
“Malah kita juga tidak dapat menghantar buah ini ke Selangor dan Kuala Lumpur kerana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sana,” katanya di sini semalam.
Menurut Muhammad Nazri, dia menjual durian kampung dengan harga RM10 selonggok bagi buah bersaiz sederhana dan kecil, manakala buah bersaiz besar pula dijual pada harga RM5 sekilogram.
Katanya, harga durian yang rendah adalah rezeki buat pembeli kerana boleh membeli durian kampung dengan harga selonggok RM10.
Ditanya sama ada harga durian kampung akan jatuh lagi dalam masa terdekat, dia berkata, ada kemungkinan dia menjual buah berkenaan lebih murah.
“Buat masa ini saya jual tiga hingga empat biji selonggok durian kampung bersaiz sederhana dan kecil dengan harga RM10.
“Kemungkinan apabila buah makin banyak luruh dalam beberapa hari ini saya akan mula jual buah bersaiz besar di dalam bakul dengan berat 13 kilogram pada harga RM50,” katanya.
Katanya, selain Kuala Kangsar terdapat beberapa kawasan di Perak yang mengalami masalah lambakan durian kampung.
“Kawan-kawan peraih memberitahu beberapa kawasan seperti Sungkai, Tapah, Gopeng dan Ijok di Selama juga berdepan lambakan durian,” katanya. – UTUSAN ONLINE