Durian dijangka turun harga - Utusan Malaysia

Durian dijangka turun harga

MUHAMMAD Nazri Abdullah menunjukkan durian kampung yang dijualnya ketika ditemui di Kati, Kuala Kangsar semalam. -UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Buah durian dijangka mengalami penurunan harga berikutan raja buah itu mulai luruh serentak di kebanyakan daerah di negeri ini, tidak lama lagi.

Jangkaan itu juga berdasarkan jualan harga raja buah itu yang semakin menurun sejak kebelakangan ini berbanding pada peringkat awal buah durian mulai luruh, awal bulan lalu.

Peraih dan penjual durian di Kati, dekat sini, Muhammad Nazri Abdullah berkata, pada pertengahan bulan lalu, harga buah durian kampung boleh mencecah sehingga RM14 sekilogram.

Menurutnya, namun harga itu turun sehingga RM8 hingga RM10 mulai awal bulan ini.

“Harga durian dijangka turun lagi sebab kebanyakan daerah di Perak, buah durian sudah mulai luruh serentak, jadi mungkin berlaku lambakan buah.

“Hampir semua kawasan mengalami musim durian luruh namun buah tidak dapat dijual di luar daerah dan negeri lain disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKK), jadi akan berlaku lambakan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Muhammad Nazri berkata, PKP adalah cabaran buat penjual durian kampung sepertinya di sini kerana buah tidak dapat dijual ke luar daerah atau ke negeri lain.

Menurutnya, keadaan lebih sukar apabila pasaran utama raja buah itu, Selangor dan Kuala Lumpur dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akibat Covid-19.

Katanya, ini menyebabkan peniaga sepertinya terpaksa mencari alternatif lain iaitu dengan menjual durian secara sejuk beku.

“Melalui cara ini, isi durian dimasukkan dalam bekas dan dibekukan di dalam peti sejuk sebelum dijual.

“Satu bekas isi durian kampung sejuk beku saya jual dengan harga RM12 bagi berat 400 gram yang juga dipasarkan secara atas talian menerusi Facebook dan WhatsApp,” katanya.

Muhammad Nazri berkata, melalui jualan secara atas talian, dia menerima tempahan pelanggan di  Ipoh dan Lembah Klang.

Menurutnya, dia mempunyai ejen jualan durian sejuk beku di Lembah Klang yang memudahkan lagi urusan penghantaran tempahan kepada pelanggan.

“Saya jangka jualan cara ini boleh terjual sekitar  600 hingga 1,000 bekas sehari. Buah durian kampung semakin banyak di setiap daerah di Perak dan orang ramai sudah mula jual dengan harga murah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya