Mengakui dunia lakonan banyak mengajarnya untuk bersikap lebih empati selain simpati, bagi Mohammad Faiz Abdul Malek dia mahu terus berusaha untuk memahat namanya.
“Sejak mula aktifkan diri dalam persembahan teater, saya belajar untuk menjadi lebih simpati dan empati kepada orang lain serta diri sendiri.
“Sebelum ini, saya tidak terlalu bergaul dengan orang sekeliling. Namun, setelah bekerjasama dengan pasukan teater dan membuat penggambaran dengan ahli produksi,saya ubah diri untuk mudah didekati,” katanya kepada Pancaindera.
Faez menjelaskan, pengalamannya itu telah menimbulkan persoalan, jika perasaan sayang boleh timbul terhadap rakan sekerjanya, mungkin dia juga harus mula bersikap lebih lembut dan terbuka bersama ahli keluarganya.
Jejaka yang lebih ingin dikenali sebagai Faez Malek itu berkata, dunia lakonan telah mengubah dirinya menjadi seorang yang lebih baik.
“Saya mula berjinak-jinak dalam bidang ini sejak 2006 dengan mula aktifkan diri dalam persembahan teater dan kini mencari peluang untuk muncul di kaca TV pula.
“Antara teater yang pernah dilakonkan adalah, Asiah Samiah, Pawana Isabella, Dia Semanis Honey sebuah Muzikal dan lain-lain lagi,” jelasnya yang berusia 34 tahun.
Selain itu, katanya, antara drama yang pernah dilakonkan pula, Lelaki Pendosa, Derhaka I-Tanggang, Megat Extend, EPOK, Geng Bas Sekolah, Solat- Maafkan Aku Tuhan dan Variety Show: Kan Dah Kena!!
Anak kelahiran Kedah ini memberitahu, filem pertamanya lakonannya akan dikeluarkan pada masa akan datang.
“Pada mulanya, cita-cita saya ingin menjadi seorang doktor, namun tiada rezeki dalam bidang itu dan membuat keputusan untuk menjadi seorang jurutera elektrikal.
“Saya telah melanjutkan pelajaran dalam bidang berkenaan di peringkat Ijazah Sarjana Muda. Waktu itu, saya mula berjinak-jinak dalam persembahan teater dan terus jatuh cinta dalam bidang itu,” cerita anak pertama daripada tiga beradik ini.
Faez berkata, setelah menamatkan pelajarannya dalam bidang tersebut, dia terus memilih belajar lebih lanjut tentang persembahan teater dengan mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang berkenaan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
Kini menurut Faez, dia nekad untuk menjadikan minatnya itu sebagai karier.
Faez berharap dirinya akan diberi peluang untuk melibatkan diri dalam lebih banyak filem dan drama.
“Jika ada rezeki, saya ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang ini di peringkat yang lebih tinggi untuk menjadi seorang pendidik buat anak muda yang ingin menceburi bidang seni,” tambahnya.